Buktikan Malaysia Bukan 'Lubuk'


PERTAHANAN negara, Adam Nor Azlin menggesa rakan sepasukan supaya membuktikan mereka bukan 'lubuk' untuk pasukan lain mendapat mata dalam saingan Kumpulan C Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 (B-23) Tahun di Changshu, China.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee bakal berdepan ujian sulung apabila bertemu juara 2013 Iraq hari ini, sebelum menentang Jordan (13 Januari) dan Arab Saudi (16 Januari).

Malaysia, wakil dari Asia Tenggara tampil buat kali pertama pada pusingan akhir itu dan jika dibandingkan dengan tiga lagi pasukan berkenaan, sememangnya skuad negara tidak diletakkan banyak harapan.

Namun, Adam yang kemungkinan bakal bertindak sebagai kapten andai seorang lagi pertahanan Adib Zainudin tidak diturunkan, tidak peduli dengan andaian awal ramai pihak itu.


"Saya percaya semua pasukan memandang rendah (pasukan Malaysia) kerana kita jarang layak ke kejohanan besar di peringkat Asia. Kita tak perlu ambil peduli, kita kena tunjuk dalam padang.

"Mereka boleh pandang rendah kita, tapi esok tengok siapa lebih bagus, fokus dan berdisiplin," katanya selepas sesi latihan rasmi di Stadium Changshu semalam.

Adam bagaimanapun tidak mahu rakan sepasukan mengambil mudah apabila lawan akan turun tanpa khidmat penyerang utama, Aymen Hussin yang menjalani penggantungan.

"Ia bukan satu kelegaan saja, malah akan menjadi motivasi jika kita tak dibolosi. Walaupun mereka tidak dapat menurunkan penyerang utama, tapi saya percaya pemain simpanan mereka juga ada kualiti.

"Jadi, saya harap semua pemain dapat berikan kerjasama andai kita mahu melakukan kejutan," kata Adam yang bakal beraksi bersama Johor Darul Ta'zim.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com