Briged Sukarelawan 1Malaysia Siap Siaga,Tabur Bakti Kepada Penduduk Sik


SIK - Peranan pasukan Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) di daerah Sik kini dilihat bukan lagi sebagai badan sukarelawan atau sambilan, tetapi menjadi  'agensi'  perlu kepada penduduk daerah terbesar di Kedah itu.

Tanpa menidakkan peranan agensi kerajaan seperti Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Perkhidmatan Awam Malaysia, kehadiran briged sukarelawan di kawasan Parlimen Sik membuka mata rakyat setempat  bahawa 'skuad khas gerak cepat' itu amat diperlukan.

BS1M yang dianggotai lebih 40 orang yang mahir dalam beberapa bidang tidak memilih sebarang aduan rakyat yang ingin bantuan segera walaupun ada ketikanya tertipu dengan 'pemanggil nakal'.

Briged itu yang dilengkapi dengan kenderaan pacuan empat roda, ambulans dan terak serta beberapa peralatan akan berada di lokasi secepat mungkin selepas menerima aduan.


Dari sekecil pertolongan seperti memusnahkan sarang tebuan, tangkap ular, membersih pokok tumbang melintang jalan, membantu mangsa kemalangan, menghantar pesakit strok, pindah mangsa banjir hingga menyelamat kebakaran rumah.

Tidak cukup dengan itu skuad BS1M bersedia merentasi sempadan daerah dan negeri untuk memberikan bantuan termasuk membawa pulang jenazah mangsa lemas dan membantu menguruskan pengebumian serta kerja-kerja amal lain.

Malah pasukan sukarelawan dari Sik itu juga bersedia diherakan hingga ke Sabah semasa gempa bumi tempoh hari.

Siapakah watak utama di belakang skuad sukarelwan yang aktif dan sentiasa bersiap siaga sepanjang masa itu?

Pengerusi BS1M, Mahadzir Abdul Hamid menjelaskan membantu mangsa dalam kecemasan bukanlah tanggungjawab agensi kerajaan semata-mata  tetapi perlu melibatkan masyarakat setempat.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jeneri, Sik berkata, tidak ramai yang berminat menyertai pasukan sukarelawan ini  kerana ia bukan tempat membuat mencari keuntungan peribadi ataupun nama.

Namun, kata Mahadzir, bagi anggota pasukan itu mereka merasa puas hati dapat menyelamatkan orang ramai yang memerlukan pertolongan selain, mambantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Briged  sukarelawan itu kini mula membuka mata rakyat bukan sahaja di daerah Sik tetapi juga di kawasan lain.

Mahadzir yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO negeri Kedah berkata, agenda memperkasa briged sukarelawan penting dalam usaha membentuk rakyat Malaysia yang mempunyai nilai jatidiri serta bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.

"Kita mahu mengikis stigma bahawa bencana yang berlaku bukanlah tanggungjawab atau dipikul agensi kerajaan sahaja , kita perlu mewujudkan semangat berpasukan dalam kalangan masyarakat," katanya kepada sebuah media arus perdana baru-baru ini.

Satu talian hotline diwujudkan oleh Briged Sukarelawan 1Malaysia (BS1M) bagi memudahkan komunikasi antara orang awam berhubung perkara berkaitan termasuk ketika berlaku kecemasan.

“Orang ramai boleh menghubungi BS1M melalui talian 04-4625888 pada bila-bila masa kerana ia berfungsi secara 24 jam.

Kata Mahadzir, anggota BS1M akan cuba sedaya upaya untuk sampai ke lokasi kejadian secepat mungkin bagi memberi sebarang bentuk pertolongan kepada mangsa bencana dan sebagainya. - Kedahnews.com.

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com