Bertemu Liga 1 Thailand, Marcote Yakin Kedah Kutip Pengalaman Berharga


ALOR SETAR - Kedah menganggap pengalaman bertemu pasukan Liga 1 Thailand, Suphanburi FC adalah sesuatu yang amat berharga apatah lagi ia berlangsung ketika Helang Merah bakal mengatur aksi di Liga Super, awal bulan depan.

Kekalahan 1-3 Kedah di tangan Suphanburi FC itu tetap memberi kepuasan kepada pengendali, Ramon Marcote yang tampil dengan beberapa eksperimen dalam menentukan gandingan terbaik buat pasukannya.

"Saya tetap puas hati kerana kita mengutip pengalaman berharga walaupun kami tewas. Kebanyakan pemain tempatan tidak kira senior atau pemain muda, mampu mengimbangi kepantasan lawan dan mengikut taktikal yang dirancang.

"Kita masih bermain dengan rentak sendiri dan pemain muda juga dilihat berjaya meningkatkan permainan mereka apabila berhadapan dengan lawan yang berada pada satu tahap lebih bagus.

"Seperti yang saya kata, Suphanburi adalah pasukan yang hebat dan jika lihat di babak kedua, kita kelihatan lebih sukar kerana beberapa pemain utama seperti Pablo Pallares dan Alvaro Silva tidak dapat meneruskan perlawanan akibat kecederaan.

"Namun kita memberi peluang kepada pemain lain untuk menimba pengalaman," katanya.

Sementara itu, mengenai isu pemain import kelima untuk kuota Asia Tenggara, Marcote berkata, beliau masih menanti jawapan dan berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan membuat pemilihan terbaik.

"Mengenai soal itu, saya harap pihak pengurusan dapat membuat keputusan yang tepat kerana jika kita mahu menyaingi pasukan besar seperti JDT, maka kita juga perlu melengkapi pasukan dengan pemain berkualiti," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com