Berebut Kerusi: Ahli PPBM Mengamuk, Tempelak Presiden Pakatan Harapan


Belum pun dibubarkan Parlimen, namun parti di dalam Pakatan Harapan tidak lagi dapat menyembunyikan ledakan pergaduhan berebut kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka berlangsung sebelum Ramadhan tahun ini.

Terbaru, media tempatan melaporkan tentang tindakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Negeri Sembilan yang tampil menempelak Presiden Pakatan Harapan, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail ketika berucap di konvensyen gabungan pembangkang itu di peringkat negeri.

Walau bagaimanapun, suasana tegang itu diselamatkan oleh 'hero' PPBM, Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang turut berada di konvensyen tersebut.

"Ketika menjelaskan peruntukan kerusi kepada anggota PPBM selepas itu, Mukhriz memahami PPBM Negeri Sembilan mendapat peruntukan kerusi yang sedikit, tetapi katanya ia diputuskan bagi tujuan yang lebih besar.

"Beliau (Mukhriz) berjanji untuk menyampaikan rasa ketidakpuasan hati anggotanya kepada kepimpinan pusat parti itu," lapor Sinchew Daily mengenai insiden memalukan yang difahamkan berlaku semalam itu.

Menurut laporan Oriental Daily, PPBM diberikan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) untuk ditandingi di Negeri Sembilan, manakala PKR mendapat 12 kerusi Dun.

Sementara itu, DAP turut mendapat jumlah kerusi yang banyak iaitu 11 Dun dan Parti Amanah Negara (PAN) pula akan menerima sebanyak 7 kerusi, lebih satu kerusi berbanding PPBM.

Ramai penganalisis politik tanah air sebelum ini sudah menjangka lebih awal tentang pergaduhan yang bakal tercetus akibat perebutan kerusi di kalangan parti di dalam Pakatan Harapan, khususnya PPBM.

Beberapa pihak sebelum ini mengatakan bahawa ramai bekas ahli UMNO yang bermasalah dan dilabel sebagai "kepala masam" telah bertindak keluar parti untuk menyertai PPBM, sekali gus akan membawa masalah dalaman terhadap parti baru itu.

Desas-desus di peringkat akar umbi juga mendakwa terdapat pertikaian hangat di kalangan ahli dan penyokong parti Pakatan Harapan di Kedah berhubung pembahagian kerusi Dun di sini yang dijangka meledak menjelang PRU ke-14. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com