Bayi Dari Seberang Jaya Derita Kegagalan Fungsi Hati


SEBERANG JAYA - Nampak sihat seperti kanak-kanak lain, namun siapa sangka bayi yang baru berusia 12 bulan terpaksa menanggung derita penyakit kegagalan fungsi hati sejak lahir.

Ibunya, Nor Shahida Chit Wan, 37, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu, Nor Hayfa Mohd Azrul dikesan mengalami masalah kesihatan sejak berusia empat hari namun penyakitnya itu hanya disahkan setelah menerima rawatan ketika berusia dua minggu.

Nor Shahida yang hanya memperoleh pendapatan dengan hasil mengambil upah menjahit baju berkata, akibat komplikasi kesihatan itu, bayinya pernah menjalani pembedahan untuk membuang hempedu ketika berusia 50 hari bagi memanjangkan usianya.

Menurutnya, ketika ini anaknya itu hanya bergantung kepada ubat, susu khas dan vitamin tambahan yang perlu diambil setiap hari bagi memastikan hatinya tidak rosak sepenuhnya.

"Dia harus diberi penjagaan khusus setiap kali menerima rawatan di hospital," katanya.

Nor Shahida berkata, sebelum ini mereka pernah menerima bantuan one off daripada Zakat Pulau Pinang sahaja namun itu masih tidak mencukupi.

"Saya juga pernah minta bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun dikatakan tidak layak untuk menerima bantuan atas alasan penyakit yang dialami Nor Hayfa tidak kronik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Tuna, di sini kelmarin.

Menurutnya, bagaikan jatuh ditimpa tangga apabila suaminya, Mohd Azrul Ahmad, 39, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Penang Port terpaksa diberhentikan kerja disebabkan terlalu banyak mengambil cuti kerana perlu menjaga dua anaknya yang lain.

Katanya, dengan pendapatan tidak menentu, dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM750 sebulan untuk membeli susu khas dan lampin serta vitamin tambahan untuk anaknya.

"Selepas suami diberhentikan kerja, dia hanya kerja sambilan bantu rakan yang buka kedai kimpalan dan bantu saya siapkan tempahan baju," katanya.

Terdahulu, Naib Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Abdul Aziz Shaik Ahmad yang mengetahui mengenai nasib keluarga berkenaan tampil menghulurkan bantuan.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com