Bayi 4 Bulan Maut Tertutup Kain Bedung


CHERAS - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan meninggal dunia dipercayai akibat lemas selepas kain bedung terbuka dan menutup mukanya, pagi semalam.

Dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Besi, di sini, ibu mangsa yang hendak menukar lampin kira-kira jam 7 pagi, mendapati anak bongsu daripada tiga beradik itu tidak sedarkan diri.

Ibu bapa kemudian bergegas membawa bayi itu ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji, berkata pegawai perubatan yang menerima bayi itu kira-kira jam 7.30 pagi berusaha memberikan bantuan Pernafasan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) selama 15 minit namun, tiada sebarang tindak balas diberikan dan disahkan sudah meninggal dunia.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan terhadap tubuh bayi itu tidak menemui sebarang kecederaan.

"Pemeriksaan oleh pegawai perubatan PPUKM mendapati tiada unsur jenayah mahu pun kesan penderaan ditemui pada bayi terbabit.

"Mangsa meninggal dunia dipercayai disebabkan lemas berpunca daripada ikatan kain bedung yang dipakai terbuka dan menutup muka mangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Ghani berkata, laporan turut dibuat bapa mangsa berhubung kejadian itu.

"Dalam laporannya, bapa mangsa menyatakan keluarga tidak mahu polis dan hospital menjalankan bedah siasat terhadap mayat anaknya," katanya.

Katanya, jenazah bayi itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 18, Pengkalan Pegoh, Perak. 

Sumber: BHOnline

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com