Bawa Mak, Ayah, Tok Dan Tokwan Periksa Katarak Mata Di Sg Tiang 24 Feb Ini - Kak Su


PENDANG - Hasil tinjauan program Mata Kebangsaan II yang berlangsung pada tahun 2014, masalah katarak merupakan penyebab utama kepada berlakunya masalah kebutaan di negara ini dan ianya boleh dicegah lebih awal dengan rawatan awal atau pembedahan.

Zon utara semenanjung Malaysia direkodkan mempunyai kadar kebutaan sebelah mata yang tertinggi di negara ini, manakala kadar kebutaan bagi kedua-dua belah mata dan merupakan kadar kedua tertinggi selepas Sabah.

Justeru itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob mengambil inisiatif untuk membawa Program Katarak Finder ini ke Sungai Tiang bagi memberi khidmat kepada penduduk sekitar kawasan tersebut.

"Kita akan adakan program Katarak Finder ini pada 24 Februari ini di Sungai Tiang, di mana kita akan memberi fokus kepada golongan warga emas yang berusia 50 tahun ke atas.

"Memandangkan kepada penyertaan yang terhad kepada 200 pesakit sahaja, jadi kita menyeru kepada seluruh warga Sungai Tiang untuk mendaftar nama awal bagi mendapatkan khidmat pemeriksaan katarak itu.

"Apa yang istimewa, program ini menawarkan khidmat pembedahan terus pada hari tersebut. Jadi pesakit tidak perlu menunggu masa yang panjang di hospital untuk menjalani pembedahan katarak mereka," katanya kepada Kedahnews.com ketika ditemui di sini, hari ini.

Justeru itu, Suraya menyeru kepada masyarakat Sungai Tiang supaya mewar-warkan program ini kepada masyarakat di kawasan terbabit dan tidak melepaskan peluang keemasan mendapatkan rawatan katarak pada hari berkenaan.

"Oleh itu, saya menyeru kepada orang Sungai Tiang supaya bawa mak ayah, tok, tokwan kita yang menhadapi masalah penglihatan untuk menjalani pemeriksaan mata.

"Jika ada masalah katarak, kita bawakan pakar-pakar mata yang boleh membantu mereka dengan rawatan. Mereka juga boleh jalani pembedahan serta merta di sana, insyaAllah," katanya.

Meneruskan tanggungjawab memberi kebajikan kepada masyarakat, Suraya berharap agar masyarakat Pendang khususnya di Sungai Tiang tidak melepaskan peluang untuk hadir beramai-ramai ke program Katarak Finder pada 24 Februari nanti.

Program Katarak Finder melalui Klinik Katarak 1Malaysia merupakan satu strategi komuniti bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan mendapatkan pemeriksaan dan rawatan awal katarak.

Inisiatif anggota komuniti kesihatan untuk menjejak individu-individu khususnya warga emas yang menghadapi masalah katarak dan menguruskan proses pembedahan katarak mereka.

Ia menawarkan perkhidmatan ujian saringan pemeriksaan mata secara percuma bagi mengenal pasti tahap katarak pesakit sebelum rawatan susulan diberikan.


Bagi penduduk yang tidak dapat hadir ke lokasi program saringan, program ini juga menyediakan khidmat ke rumah pesakit untuk melakukan pemeriksaan mata secara percuma.

Pesakit yang menghadapi masalah katarak perlu menjalani pembedahan kecil bagi mengembalikan tahap penglihatan mereka menjadi normal dan tidak lagi sukar menjalani rutin harian masing-masing.

Sekiranya dibiarkan, ia mampu menyebabkan kebutaan, manakala proses pembedahan dijangka hanya memakan masa selama 30 minit sahaja.

Meskipun perlu membayar harga katarak palsu yang akan ditukar dalam proses pembedahan tersebut, namun mereka yang kurang berkemampuan boleh merujuk dari agensi kebajikan sosial untuk membantu mereka menjelaskan bayaran tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com