Bank Negara Minta Orang Ramai Waspada Dengan Panggilan Palsu


ALOR SETAR - Bank Negara Malaysia  (BNM) mengingatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dan bertindak secara terburu-buru jika menerima panggilan kononnya dari 'bank' mengenai jumlah tunggakan pinjaman atau meminta pengesahan transaksi kad kredit.

Timbalan Gabenor, Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata,  statistik jenayah kewangan menunjukkan pertanyaan berkenaan panggilan palsu daripada orang ramai telah meningkat sejak kebelakangan ini.

"Pertanyaan berkenaan panggilan palsu yang dilaporkan kepada BNM telah meningkat sebanyak 3,400 pertanyaan dalam tempoh setahun. Iaitu daripada 4,316  pertanyaan pada tahun 2016 kepada 7,716 pertanyaan pada akhir tahun 2017.

"Oleh itu, saya ingin menasihati orang ramai agar jangan mudah percaya dan bertindak secara terburu-buru jika menerima panggilan seumpama ini,"katanya pada ucapan majlis penutupan Karnival Kewangan Kedah   'Utamakan Keperluan Kewangan Anda'  di Pusat Konvensyen dan Hotel TH, di sini petang semalam.


Majlis penutup terbabit disempurnakan Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Othman Aziz.

Katanya, rekod jenayah itu jelas menunjukkan terdapat peningkatan kesedaran di kalangan rakyat sekali gus mampu mengelak kerugian yang besar dan menggagalkan berleluasanya panggilan palsu yang menyamar sebagai pihak berkuasa ataupun bank dan BNM.

"Oleh itu, orang ramai diminta untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada laman sesawang rasmi institusi kewangan tersebut atau hubungi terus Bank Negara link untuk maklumat lanjut serta nasihat," katanya.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata, karnival yang dianjurkan julung kali di Kedah selepas di Sabah dan Sarawak mendapat sambutan di luar jangkaan iaitu  mencatatkan hampir 30,000 pengunjung dari sekitar Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

"Kita juga merekodkan lebih 30,000 khidmat nasihat secara langsung diberikan daripada institusi kewangan yang sejak hari pertama karnival kewangan ini.

"Ia jelas menunjukkan peningkatan celik kewangan di kalangan rakyat Malaysia dalam pengetahuan mengenai hal kewangan, pengguna dapat mengurus kewangan dan merancang masa depan mereka dengan lebih baik.

"Penganjuran karnival kewangan ini membuktikan ia satu usaha bersepadu yang mampu meningkatkan tahap celik kewangan di segenap lapisan masyarakat, bermula daripada kanak-kanak sehinggalah ke peringkat dewasa," katanya.

Karnival yang dianjurkan selama tiga hari itu menghimpunkan keseluruhan 53 institusi kewangan membabitkan 19 bank, 11 syarikat insurans, takaful, 23 persatuan dan agensi kerajaan berkaitan yang akan memberi khidmat nasihat kewangan serta menawarkan pelbagai produk kepada pengunjung.

Kedah adalah lokasi ke empat penganjuran karnival kewangan yang sebelum ini diadakan di Kuala Lumpur, Kuching dan Kota Kinabalu.

Sempena Karnival Kewangan Kedah 2018 , Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menjalin kerjasama menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan RHB Bank  dan PayNet sebagai salah satu agen bank bagi pengurusan bayaran caruman, faedah caruman lewat bayar (FCLB) dan kompaun.

Perjanjian MoU kerjasama meningkatkan e-pembayaran  itu ditandatangani oleh Timbalan Ketua Eksekutif Korporat Perkeso, Datin Azlaily Abdul Rahman dan Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Datuk Adisaddikin Ali.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com