Bangsal Buruk Jadi 'Mahligai Indah' Bagi Lima Beranak Ini


KOTA BHARU - Seorang ibu tunggal terpaksa menjadikan bangsal buruk untuk membesarkan lima anaknya selepas kematian suaminya sejak dua tahun lalu.

Dengan hanya berdindingkan kayu reput, zink dan kain, ‘istana’ keluarga itu bukan sahaja serba kedaifan tetapi juga terdedah kepada bahaya binatang berbisa.

Malah, bangsal buruk itu, juga didirikan selepas mereka sekeluarga mengutip sisa bahan buangan selain zink lama merupakan pemberian orang.

Bagi Nurmuhibbah Abdullah, 38 tahun dia pasrah dengan takdir dan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anaknya.

“Pada asalnya mereka menumpang di rumah peninggalan orang tua mereka di sebelah bangsal itu tetapi rumah itu hampir menyembah bumi.

“Sebelum ini, kami enam beranak tinggal di sebuah rumah sewa tetapi terpaksa keluar ekoran bebanan hutang yang ditinggalkan suaminya,” katanya ketika ditemui Astro Awani di bangsal itu di sini.

Tambah Nurmuhibbah, anak bongsunya berusia tiga tahun terpaksa ditinggalkan di rumah orang tuanya di Pantai Sabak, Kota Bharu memandangkan tiada sesiapa yang menjaga kanak-kanak itu ketika dia bekerja.

Dia yang bekerja di sebuah kedai membuat roti dan kek mendapat upah RM700 sebulan.

“Selain gaji, saya juga mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak serta makan minum seharian.

“Namun jauh di sudut hati, saya mengimpikan sebuah rumah selesa untuk anak-anaknya membesar,” katanya.


Bagi anak sulungnya, Sharifah Natasha Syed Fairuz, 15 tahun, dia turut mengimpikan sebuah kediaman selesa untuk mereka sekeluarga berteduh serta beristirehat seperti orang lain.

“Keadaan ini memang tidak selesa tetapi apa yang boleh dilakukan. Malu jika orang hendak datang,” katanya.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com