'Baguette Berhak Diiktiraf Warisan Dunia'


Presiden Emmanuel Macron Jumaat lalu turut menyokong permintaan pembuat roti supaya roti tradisional mereka, baguette diiktiraf sebagai antara khazanah budaya dunia dalam senarai ‘warisan tidak ketara’ UNESCO.

Permintaan itu dibuat selepas seni memusingkan doh piza oleh pembuat piza di Naples diberikan pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada Disember lalu.

“Roti baguette amat dicemburui di seluruh dunia. Kami mesti memelihara keenakannya dan kepakaran kami, sebab itu ia perlu disenaraikan sebagai warisan,” kata Macron kepada sekumpulan pembuat roti di istana presiden, Elysee di Paris.

Ketua persatuan pembuat roti dan pastri kebangsaan, Dominique Anract turut berkata, roti yang diperbuat daripada tepung, air, garam dan yis itu berhak diiktiraf sebagai warisan dunia.

Selain menara Eiffel, baguette juga antara simbol utama Perancis, katanya menerusi stesen radio tempatan.

Menurut Macron, baguette adalah sebahagian daripada kehidupan seharian penduduk negara itu, selain turut mempunyai sejarah yang istimewa.

“Ia adalah tradisi setiap pagi, tengahari dan petang rakyat Perancis. Selepas melihat penduduk Naples berjaya menyenaraikan seni piza mereka dalam warisan dunia UNESCO, pembuat roti kami turut menginginkan pengiktirafan sama dibuat pada roti baguette mereka.- AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com