ATM Rampas 1,135 Kg Daun Ketum Bernilai RM107,825 Di Padang Terap


ALOR SETAR - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merampas 1,135 kilogram daun ketum yang dianggar bernilai RM107,825 berhampiran Pos Sahara di Durian Burung, Padang Terap pada Selasa. 

Pada pukul 5 petang itu, pasukan 5 Rejimen Sempadan yang membuat rondaan di kawasan tersebut berjaya mengesan dua kenderaan jenis Mitsubishi Pajero dalam keadaan mencurigakan.  

Panglima 6 Briged, Briged Jeneral Abdul Aziz Ismail berkata, kedua-dua kenderaan itu kemudian ditinggalkan di laluan trek berhampiran Pos Sahara selepas menyedari kehadiran pasukan ronda tersebut.  

"Apabila melihat kedua-dua kenderaan tersebut berada dalam keadaan mencurigakan, pasukan ronda cuba menghampiri bagi membuat pemeriksaan.  

"Bagaimanapun, apabila menyedari kehadiran pasukan ronda, kedua-dua pemandu tersebut melarikan diri dan meninggalkan kenderaannya. Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan tersebut menemukan daun ketum," katanya dalam satu kenyataan, di sini kelmarin.  


Jelas Abdul Aziz, pihaknya turut merampas kedua-dua pancuan empat roda tersebut yang dianggar bernilai RM80,000 dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut.  

"Ini menjadikan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM187,825. Kesemua barang rampasan telah dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya," ujarnya memetik Utusan Online.  

Tambahnya, kejayaan tersebut merupakan permulaan baik bagi 2018 apabila pasukan 5 Rejimen Sempadan berjaya menumpaskan aktiviti penyeludupan daun ketum. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com