APM Kubang Pasu Tangkap Ular Sawa Sepanjang 4.9 Meter


BUKIT KAYU HITAM - Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kubang Pasu berjaya menangkap seekor ular sawa sepanjang 4.9 meter dipercayai menelan seekor kambing di Kampung Padung, di sini, malam Rabu.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu Kapten (PA) Kamalruzamal Kasa berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian berkenaan kira-kira jam 7.35 malam.

"Empat anggota kemudiannya dikejarkan ke lokasi untuk membantu menangkap ular berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota APM mendapati seekor ular sawa batik sedang menelan seekor kambing yang terlepas daripada kandang,” katanya.

Katanya, ular seberat 50 kilogram itu meluahkan semula kambing berkenaan sebaik anggota APM cuba menangkapnya.

"Operasi tamat pada jam 8.59 malam dan ular terbabit dibawa ke pejabat APM Kubang Pasu dan akan diserahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)Kedah untuk tindakan lanjut,"katanya.

Kamalruzamal berkata, setakat ini, ular sawa terbabit adalah yang terbesar dapat ditangkap oleh APM di Kubang Pasu.

"Kita juga menasihati orang ramai agar menghubungi pihak-pihak yang berkenaan untuk tindakan menangkap haiwan tersebut.

"Jangan cuba menangkap ular secara sendirian, kerana ia akan mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya.

Sumber: Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com