"Apa Nasib Anak Ini, Kalau Makcik Pergi Dulu...."


GUA MUSANG - Kalau diikutkan usianya, Fatimah Sulaiman, warga emas yang semakin mencecah umur 70 tahun sepatutnya tumpukan kepada persediaan bekalan untuk dibawa ke kehidupan seterusnya.

Namun, di usia yang menghambat senja itu Fatimah cekal membelai dan menjaga anak lelaki lumpuh berusia 38 tahun, Mohd Azizi Abas.

Dalam keadaan dirinya sendiri yang dihimpit uzur, tanpa merugut, mengeluh dan banyak soal, tetapi menerima takdir ditentukanNya, sejak 2012, menjadi rutin seharian Fatimah menjaga Mohd Azizi, yang lumpuh akibat kemalangan jalan raya.

Nahas di Triang, Pahang itu, menurut Fatimah, menyebabkan kehidupan mereka semakin menghimpit. 

Sejak kemalangan berlaku, yang mampu Mohd Azizi lakukan hanya terbaring semata-mata.

Hilang keupayaan bergerak dan berjalan, bermakna susut kasih sayang  isteri, yang bertindak meninggalkannya bersama dua anak.

“Patutnya anak lelaki yang jaga mak, kan? Tetapi itulah, makcik uruskan semua ini seorang diri. Suami sudah lama meninggal dunia. Banyak usaha, ikhtiar dilakukan, buat urutan dan sebagainya. Akhirnya syukur kepada Allah, dapat juga dia bercakap, minta air dan sebagainya.

“Makcik harap sangat, selepas ini, lebih banyak dia dapat bercakap dan meminta apa-apa daripada makcik,’’ kata Fatimah yang ditemui di kediamannya di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar, Jeram Tekoh, Gua Musang, Kelantan.

Ketika ini, Fatimah dan Mohd Azizi hanya mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

“Namun, mana cukup sebab makcik kena beli lampin pakai buang, susu sebab dia lumpuh. Barangan keperluan dapur lain juga perlu beli. Makcik pun dah tak ada daya nak menguruskan dia kerana usia makin tua,’’ kata Fatimah dengan nada sedih.

Menjadi kebimbangan dan ketakutan Fatimah, tiada siapa uruskan anak sulungnya itu jika ajalnya menjemput nanti.

Kebimbangan itu seolah-olah tidak boleh ditahan-tahan lagi, sebahagian besar disebabkan usianya sudah menghampiri 70 tahun, hayat suaminya pergi sebelum ini.

“Kalau makcik pergi dulu, apalah agaknya nasib anak makcik yang seorang ini.”

Sumber:Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com