Anwar Bebas Dua Hari Lebih Awal – Jabatan Penjara


KUALA LUMPUR – Jabatan Penjara Malaysia mengesahkan bahawa Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dibebaskan pada 8 Jun 2018 iaitu pada hari Jumaat.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar, menerusi satu kenyataan hari ini, ia selepas Anwar selesai menjalani hukumannya pada 10 Jun 2018 selepas dijatuhkan hukuman 5 tahun penjara mulai 10 Februari 2015.

Sehubungan itu dimaklumkan pengiraan tempoh hukuman yang perlu dijalani dan tarikh pembebasan Anwar telah dibuat oleh Jabatan Penjara berasaskan ketetapan Seksyen 44, Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43 (1) (a) Peraturan-Peraturan Penjara 2000. Akta dan Peraturan tersebut memberikan 1/3 remitan daripada hukuman kepada mana-mana banduan yang menjalani hukuman melebihi satu bulan.

Pengiraan hukuman yang dibuat mendapati tarikh pembebasan Anwar adalah pada 10 Jun 2018.

Bagaimanapun, mengikut Peraturan 28 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 juga menjelaskan bahawa jika pembebasan seseorang banduan jatuh pada hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am, banduan hendaklah dibebaskan pada hari sebelumnya.

Oleh kerana 10 Jun 2018 adalah hari Ahad dan 9 Jun 2018 adalah hari Sabtu, Anwar boleh dibebaskan pada 8 Jun 2018 iaitu pada hari Jumaat.

Sehingga tarikh kenyataan ini dikeluarkan Jabatan Penjara Penjara Malaysia dan Penjara Sungai Buloh tidak menerima apa-apa waran atau perintah dari mana-mana pihak berkuasa yang kompeten yang mengarahkan hukuman terhadap Anwar dipinda.

Tarikh pembebasan Anwar iaitu pada 8 Jun 2018 juga tiada sebarang kaitan dengan pelaksanaan Sistem Parol atau apa-apa perintah dari Lembaga Pengampunan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com