Anjing Liar Di Pekan Pokok Sena Ancam Keselamatan Orang Awam


ALOR SETAR - Kehadiran anjing liar di Pekan Pokok Sena, Kedah nyata mengundang masalah dan membahayakan keselamatan orang awam terutama kepada pelajar sekolah.

Penduduk setempat merayu kepada pihak bertanggung-jawab agar menangkap anjing liar berkenaan yang didakwa sering berkumpul di Kampung Baru, di sini, gara-gara ada pihak sering memberi makan dan perlindungan terhadap haiwan itu.

Bagi Bibah Hassan, 50, berkata, kehadiran haiwan berkenaan sangat membimbangkan terutamanya ketika ini kes penularan penyakit anjing gila (rabies) sedang hangat diperkatakan.

Jelasnya, penduduk bimbang kerana kebanyakan anjing yang terdapat di situ terbiar dan tidak mempunyai lesen hingga tahap kesihatan haiwan itu turut diragui.

“Pernah beberapa kali kes pelajar sekolah berdekatan di kejar anjing pada waktu pagi dan ini menyebabkan waris turut bimbang.

 "Walaupun belum ada lagi kes gigitan anjing tetapi mereka sangat bimbang apatah lagi dengan penularan penyakit anjing gila. Difahamkan anjing itu akan bertindak ganas dengan menyalak jika tidak mendapat makanan dan ini sudah pasti menimbulkan bahaya kepada penduduk,” katanya memetik Sinar Online.


Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Veterinar Pokok Sena, Siti Nurhidayah Kamalina Abdullah berkata, sehingga kini daerah berkenaan masih bebas daripada penyakit anjing gila.

Tambahnya lagi, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang aduan mengenai penyakit itu daripada orang ramai dan mereka tidak perlu bimbang.

“Pihak kami sentiasa memantau masalah anjing yang berkeliaran di sekitar daerah ini. Malah turut mengadakan operasi menangkap bersama dengan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

“Pada 2017, pihak kami berjaya menangkap 30 anjing liar dan sehingga kini belum lagi terdapat anjing gila di sekitar daerah ini. Bagaimanapun pihak kami akan mengambil tindakan jika orang ramai membuat aduan mengenai masalah anjing gila itu,” ujarnya.

Katanya, anjing gila selalunya akan bertindak agresif dan akan menggigit apa sahaja di sekelilingnya.

"Air liurnya akan sentiasa meleleh dan memberi kesan kepada manusia jika menggigitnya.

“Saya nasihatkan, jika terdapat anjing liar yang bertindak agresif dan membahayakan, mereka boleh hubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar supaya pihak kami akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com