Ancaman Alam Siber: TUDM Kerjasama Dengan Negara Luar


ALOR SETAR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan terus bekerjasama dengan negara luar bagi berkongsi idea dan kepakaran dalam mengekang ancaman teknologi peperangan alam siber yang kian berkembang.

Bagi Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata pendekatan ini sejajar dengan keperluan semasa akibat perubahan teknologi ketenteraan masa kini dan jika tidak diambil perhatian boleh memberi kesan tidak baik terhadap keselamatan negara.

“Kini kita memasuki evolusi dunia ketenteraan, yang mana dari sudut peperangan udara ia semakin canggih. Jadi adalah penting untuk kita menitikberatkan dari aspek ilmu pengetahuan dan psikologi ruang siber bagi memberi lonjakan pada keupayaan pertahanan kita.

“Ini penting kerana dunia sekarang bukan sahaja menerusi mata kasar tapi ruang siber juga dirasakan akan memberi pengaruh besar kepada negara ini dan perlu diberi perhatian,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Istiadat Perbarisan Penyampaian Sayap Penerbangan di Kolej Tentera Udara di Kepala Batas, di sini, pada Sabtu.

Dalam majlis berkenaan, seramai 36 pelatih yang terdiri daripada 20 pelatih Kursus Asas Penerbangan Siri 79/16 dan selebihnya adalah pelatih Kursus Asas Penerbangan Helikopter siri 58/16, menerima sayap penerbangan masing-masing.

Tamabh Affendi, latihan serta kursus mengenai peperangan alam siber ini juga tidak lagi asing bagi negara maju dan Malaysia tidak boleh ketinggalan serta perlu mengikuti perkembangannya dari semasa ke semasa.

“TUDM telah mengambil langkah tepat dengan bekerjasama dengan syarikat berasaskan teknologi siber untuk bertukar kepakaran dan ilmu berkaitan, malah kita juga telah menghantar pelatih kita ke Indonesia, selain berkongsi kepakaran dengan tentera Australia dan Pakistan serta membuka ruang untuk negara lain menyalurkan maklumat dalam hal ini,” katanya memetik Bernama.

Sementara itu, Leftenan Mohamad Farhan Ismail, 26, menerima anugerah Piala Panglima Tentera Udara (terbaik keseluruhan sayap kaku) disusuli Leftenan Mohamad Daniel Mohamad Noor, 26, dengan anugerah Piala Nuri (terbaik keseluruhan helikopter) dan Leftenan Mohamad Horas Matupang Kardi, 25 menerima Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (terbaik akademik). – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com