Anak Tak Mampu Bawa Ibu Ke Hospital Mohon Bantuan


ALOR SETAR - Seorang warga emas yang terlantar akibat penyakit strok dari Kampung Berjaya, di sini memerlukan bantuan bagi meneruskan kehidupannya.

Bagi anak lelakinya, Ahmad Yusni Mat Yusoff, 66, berkata, dia tinggal bersama ibunya, Fatimah Taib, 74, yang memiliki masalah kesihatan, manakala dua beradik lain duduk berasingan.

"Saya sara mak dengan pendapatan tak menentu sebagai pekerja kontrak antara RM600 hingga RM900 sebulan.

"Duit gaji tak cukup nak tampung perbelanjaan kami berdua termasuk kos barang keperluan, sewa rumah dan kelengkapan mak," katanya memetik Sinar Online.

Menurutnya, dia terpaksa memperuntukkan kira-kira RM200 sebulan untuk membeli lampin pakai buang dewasa untuk ibunya yang uzur.

"Itu belum campur keperluan lain, apatah lagi mak minum susu khas yang menelan kos RM80 setin," ujarnya.

Tambah Ahmad Yusni, dia juga tidak dapat membawa ibunya yang mempunyai strok dan kencing manis untuk menjalani rawatan di hospital akibat mengalami masalah kewangan.

"Walaupun duit sewa rumah hanya RM150 sebulan saja, saya kadang-kadang terlewat bayar sebab tak cukup duit," jelasnya.

Malah lebih menyedihkan, ibunya yang uzur turut memerlukan katil baharu yang lebih selesa dan selamat, namun dia tidak mampu membelinya.

"Mak pernah hampir jatuh dari katil. Jadi kami terpaksa ikat kerusi sebagai pengadang untuk pastikan kejadian sama tak berulang.

"Kami adik beradik gilir-gilir jaga emak yang dah tak mampu urus diri sendiri," katanya.

Oleh itu, dia memohon permohonan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diluluskan segera untuk menampung keperluan ibunya.

"Saya juga merayu mana-mana pihak membantu dapatkan rumah baru demi kemudahan dan keselesaan ibunya," katanya.

Tambahnya, dia berterima kasih kepada jiran dan JKM serta Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) yang prihatin melawat ibunya.

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Shahrin Nizar Azudin berkata, pihaknya telah memberi bantuan segera sebanyak RM300 ketika melawat warga emas itu.

Katanya, siasatan mendapati penama sebelum ini pernah menerima bantuan orang tua JKM selama enam tahun dari 2009 hingga 2014.

"Namun bantuan terpaksa ditamatkan berikutan anak lelakinya yang bekerja tinggal bersama ketika itu dan penama kemudiannya diserang angin ahmar pada penghujung 2016," katanya.

Bagi orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan sumbangan ke Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Fatimah Taib (02131-41-00004569-3).- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com