Anak Paus 4 Meter Ditemui Terdampar Di Lahad Datu


LAHAD DATU – Seekor anak paus sepanjang kira-kira empat meter dengan anggaran berat 400 kilogram ditemui terdampar di kawasan perairan Batu 7 berhampiran Kontena Terminal Jalan POIC 2 di sini, pagi tadi sebelum dilepaskan kembali ke laut.

Mamalia itu ditemui terdampar oleh seorang pekerja swasta yang melalui kawasan tersebut dan bertindak menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, Mazran Mohammad Noh berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.06 pagi sebelum bergegas ke lokasi dan menemui seekor anak paus untuk diselamatkan dan dilepaskan ke laut.

“Awalnya sukar untuk membawa mamalia itu keluar berikutan air yang cetek dan berlumpur tetapi akhirnya bomba dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu menunda anak paus itu menggunakan bot ke laut,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Katanya, mamalia itu dilepaskan tiga kilometer dari jarak asalnya ditemui dan operasi tamat pada pukul 2.17 petang.

Operasi menyelamat itu disertai lima anggota bomba dan 10 anggota PPM. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com