Ambil Berkat Malam Raya Haji, Anak Jati Kedah Ini Diberi Nama Makbul Ilahi


ALOR SETAR - Makbul Ilahi Hashim,59,  adalah anak jati Kedah yang berasal dari Seberang Perak, Alor Setar dan kini menetap di Sungai Petani, sejak 1959.

Keunikan namanya adalah ilham dari datuknya, Taufil Mohamad yang cukup dikenali penduduk setempat suatu ketika dulu kerana berniaga pakaian di pekan  Alor Setar membuatkan dia istimewa.

“Saya diberikan nama Makbul Ilahi kerana nana (datuk) saya seorang yang sangat berpegang kepada agama Islam. Saya dilahirkan 27 Jun 1958, pada hari Jumaat waktu azan Maghrib dilaungkan di surau bersebelahan rumah iaitu pada malam Hari Raya Haji.

“Bersempena bulan dan hari yang baik iaitu Haji Akhbar di mana di  Makkah jemaah-jemaah akan mengerjakan haji yang terbaik, malah dari situ nana terfikir untuk memberi nama Makbul Ilahi kepada saya,” katanya memetik Sinar Online.

Tambah Makbul, beliau adalah satu-satunya cucu yang diberikan nama oleh datuknya.

“Masa kecil-kecil dulu, saya tidak tahu uniknya nama ini walaupun selalu dikatakan ramai termasuk cikgu sekolah mudah mengingati nama saya. Namun, kisah nama saya diceritakan oleh ibu dan makcik saudara ketika saya di sekolah menengah,” ujarnya.

Selain nama Makbul Ilahi, beliau memberitahu ada nama lain iaitu ‘Bulia’ dipanggil oleh ahli keluarga dan kenalan rapat sejak kecil lagi.

“Dalam keluarga sebut nama ‘Makbul’, mungkin ramai yang tidak kenal saya. Nama panggilan saya adalah ‘Bulia’  juga nama panggilan seorang Nabi Khidir, membawa maksud ‘penghantar maklumat’.

Jelasnya, beliau yakin nama seseorang akan mencorakkan perwatakan, akhlak, moral dan keperibadian. Nama saya amat bersesuaian dengan diri saya, apa sahaja dihadapi dalam liku-liku hidup sejak usia muda sehingga usia 59 tahun. Kesemua kesusahan dalam hidup sentiasa dibantu ALLAH SWT.

“Seperti nama ‘Makbul’ yang membawa maksud diperkenan atau diterima oleh ALLAH SWT segala permintaan dan doa yang diminta insan ataupun manusia.  Nama ini sangat tepat kerana menjadi kunci utama kepada setiap kejayaan dalam kehidupan saya," katanya.


Oleh itu, beliau mengakui sangat teliti dan  mengambil masa  memberikan nama kepada anak dan cucu atau kenalan yang memintanya memilih nama sesuai.

Beliau yang juga suami kepada Halimah Mustafa, 53 dan bapa tujuh anak itu berkata, namanya sangat bermakna untuk beliau berjaya dalam kehidupan dari segi akademik, kerjaya, dunia perniagaan, ahli sukan dan kini lebih aktif dalam kerja-kerja kebajikan dan khidmat sosial.

Beliau turut menjaga ibunya, Kabraang Bibi Thafil Mohd, 79, yang tinggal bersama.

Pengurus Urusan HNM SP Enterprise ini  juga mendedahkan yang beliau  berpengalaman berkhidmat sebagai  jurutera pesawat selama  lapan tahun dengan  Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Saya berhenti dengan TUDM untuk ambil alih perniagaan bapa yang ketika itu  menghadapi masalah kesihatan. Saya mempunyai kelulusan sijil dan diploma kejuruteraan pesawat daripada TUDM Kinrara di Selangor, pada tahun 1978 dan Northrop University di Amerika Syarikat pada tahun 1980.

“Ketika berkhidmat di TUDM, ramai rakan-rakan setugas dan pegawai atasan mengenali saya kerana nama ‘Makbul Ilahi’. Nama saya pun menjadi popular dan mula dikenali dalam kalangan warga TUDM. Sehingga kini, nama saya amat dikenali ramai VVIP (orang kenamaan) di dalam  dan luar negara,” katanya lagi.

Selain itu, Makbul Ilahi juga seorang aktif sukan hoki dan pernah mewakili TUDM untuk Piala Razak dan berminat dalam sukan bola tampar.

“Saya juga pernah menjawat jawatan Pengarah Teknikal Malaysia Dart Federation. Sebanyak tiga kali, dilantik sebagai Penolong Pengurus Pasukan Malaysia WORLD CUP di Perth Australia (pada 2003), di Nertherland (2005) dan Amerika Syarikat (2007),”katanya.

“Saya menjadikan nama saya untuk branding produk. Setakat ini, ada tujuh produk kain pelikat  dengan jenama Makbul, pakaian sekolah,  pakaian wanita dan lelaki, pakaian Ihram, kurma dari timur tengah, peralatan ibadah dan beg sekolah. Termasuk, beberapa jenama produk dengan nama ahli keluarga.

Pada masa sama, beliau turut memberikan nama yang baik kepada semua cucunya, iaitu Nur Solehah Hasbullah, Mohamad Irfan Khalid,  Nur Syafiya  Hasbullah, Mohamad Zarfan  Mohamad Nadeem.

Malah, beliau juga sentiasa berlapang hati untuk mengaminkan sesuatu yang baik kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, kaya ataupun miskin.

“ALLAH SWT adalah maha berkuasa, saya adalah hambanya, jika tergerak hati untuk mengaminkan sesuatu yang baik, tidak salah kita berbuat demikian,”jelasnya.

Makbul Ilahi kini memegang jawatan Pengerusi Persatuan Kebajikan dan Sosial Daerah Kuala Muda dan Pengerusi Koperasi Sahabat Rakan Kedah Berhad.

Atas jasa dan khidmatnya dalam aspek kebajikan sosial dan masyarakat,  Pingat Pangkuan Negara dianugerahkan Yang di-Pertuan Agong ke-13, Tunku Mizan Zainal Abidin pada 2011.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com