Akibat Berebut Perempuan, 3 Sahabat Ditembak Senapang Patah


KUCHING  – Gara-gara perselisihan faham kerana seorang wanita, seorang lelaki bertindak menembak tiga sekawan menggunakan senapang patah ketika mereka minum di sebuah restoran di Kuching City Mall Commercial Centre, Batu 4 1/2 Jalan Penrissen, dekat sini tengah malam semalam.

Dalam kejadian­ kira-kira pukul 12.15 malam itu, seorang mangsa me­rupakan jurujual berusia 42 tahun mengalami kecederaan pada kaki kanan manakala seorang lagi bekerja sebagai penarik kereta berusia 47 tahun cedera di bahagian perut dan kaki.

Seorang lagi rakan mereka yang juga bekerja sebagai penarik kereta berusia 30 tahun, cedera di kaki kiri.

Ketiga-tiga mangsa kini dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri, Datuk S. Dev Kumar berkata, suspek tersebut dikenal pasti sebagai Patrick Buddy Siam, 30, ber­asal dari Rumah Panjang Antas, Skrang di Sri Aman telah melarikan diri menggunakan kereta jenis Proton Waja berwarna perak selepas kejadian.

Katanya, gerakan memburu suspek sedang dijalankan dan orang ramai tidak perlu khuatir.

“Kes ini tidak berkait de­ngan sebarang kumpulan dan kita memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk berhubung dengan balai polis berdekatan,” tegas beliau.

“Siasatan awal mendapati berlaku perselisihan antara suspek dengan mangsa di sebuah hostel pekerja berpunca daripada teman wanita suspek sebelum mereka semua diminta beredar dari sana,” katanya di sini semalam.

Sumber - Utusan



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com