Akhyar Tidak Akan Sia-Siakan Peluang


ALOR SETAR - Selepas beraksi mantap bersama skuad bawah 23 tahun negara pada Kejohanan AFC B-23 di China dua minggu lalu, Akhyar Rashid kini bertekad untuk tidak mensia-siakan apa sahaja peluang diberikan pengendali Kedah, Ramon Marcote dalam aksi Liga Malaysia 2018 yang akan bermula minggu hadapan.

Menurut Akhyar dengan nama jolokan 'Neymar Kedah', berkata meskipun menyedari namanya kini meniti di bibir peminat bola sepak, dia tidak mahu terus leka dibuai pujian, sebaliknya mahu bekerja keras dan 'merebut' tempat dalam kesebelasan utama bersama rakan sepasukan yang lebih senior.

"Saya tidak mahu terus leka dibuai pujian yang boleh melalaikan saya dan untuk berada dalam kesebelasan utama Kedah bukanlah mudah kerana ramai pemain senior dan berbakat besar yang perlu saya rujuk seperti Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi, Syazwan Zainon selain ketua jurulatih, Ramon Marcote.

"Sebagai pemain muda berusia 18 tahun dalam skuad Lang Merah saya perlu melipatgandakan usaha dan bersaing pada tahap yang terbaik dalam usaha membuktikan saya layak berada dalam kesebelasan utama pasukan,'' katanya memetik BH Online.

Sebelum ini jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee mencabar pemainnya yang beraksi dengan baik di China, untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan masing-masing pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

"Kelayakan beraksi dengan skuad negara sebelum ini bukanlah 'lesen' untuk terpilih bersama pasukan dalam liga kerana saya terlebih dahulu perlu menambat hati Marcote dengan aksi yang meyakinkan terlebih dahulu," ujarnya.

Pada aksi terakhir perlawanan pramusim skuad Lang Merah pada Sabtu, Akhyar berjaya memukau penonton dengan menghasilkan satu gol melalui gerakan solo yang menarik dan membantu pasukannya menewaskan UKM FC dengan jaringan 2-0. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com