Air Terjun Di Lif Flat Awam Singapura, Puncanya Parit!


SINGAPURA – Ini mungkin luar biasa tetapi jelas memalukan Singapura apabila menjadi bahan jenaka dalam kalangan netizen tempatan kerana ia berlaku di sebuah negara yang dianggap maju!

Lucunya penghuni sebuah flat awam di Blok 492A Tampines Street 45 dapat menyaksikan panorama percuma ‘air terjun’ di sebuah lif  pada Isnin lalu hanya disebabkan parit yang tersumbat, menurut Majlis Bandaran Tampines.

Stesen penyiaran tempatan Channel NewsAsia melaporkan, pihak majlis bandaran tersebut mengesahkan terdapat ‘limpahan’ air hujan ke dalam lif berkenaan, dan cuma mampu menyifatkannya sebagai “insiden yang malang”.

Rakaman video yang tular setelah dimuat naik oleh seorang penduduk, Josh Ng menunjukkan jumlah air turun banyak dari bahagian atas lif, yang dikatakan tidak bergerak dari aras pertama tempat letak kereta tersebut.

Lelaki tersebut juga memberitahu agensi berita tempatan MediaCorp bahawa beliau tidak pernah menyaksikan insiden pelik seumpama itu pernah berlaku sepanjang 20 tahun menetap di kawasan kejiranan flat berkenaan.

Bagaimanapun pihak majlis bandaran berkenaan setekah dimaklumkan mengenai insiden tersebut pada sekitar pukul 9.50 pagi, terus mengerahkan sebuah pasukan bergegas ke tempat kejadian dan lif itu segera dimatikan.

“Lokasi insiden itu adalah di tempat letak kereta bertingkat, iaitu aras paling atas tidak berbumbung dan dibina dengan sedikit kecerunan bagi memastikan air disalurkan ke kawasan saliran,” menurut kenyataan majlis itu.

“Semasa menjalankan siasatan, kami dapati terdapat beberapa partikel yang dibawa dan ditinggalkan di parit itu. Ini menyebabkannya tersumbat, sekali gus mengakibatkan aliran air perlahan dari tempat letak kereta itu,” dedahnya.

Secara kebetulan pula akibat keadaan hujan lebat pada sebelah pagi yang turut mengakibatkan banjir kilat, paras air naik “ke atas kecerunan tempat parkir itu ke kawasan lobi lif” dan kemudian memasuki ke dalam lif berkenaan.

Pihak majlis bandaran itu menyatakan bahawa pihaknya sedang segera “membaiki isu tersebut” malahan memberi jaminan mengenai status lif tersebut hanya akan kembali beroperasi sebaik sahaja ia “disahkan sebagai selamat”.

“Memandangkan monsun timur laut terus melanda, kami jangka jumlah air hujan yang lebih banyak di Singapura. Majlis Bandaran Tampines juga sudah pun memaklumkan pasukan penyenggaraan untuk giat memeriksa.

“Mereka juga akan memastikan partikel dibersihkan dari kesemua parit bagi membolehkan aliran keluar air yang mencukupi,” menurut kenyataan tersebut. 

Sumber – Agensi

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com