Agihan Kerusi Parlimen Pakatan Harapan: PAN, PKR Sifatkan PPBM Tamak


Pemimpin PAN dan PKR menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui oleh Tun Dr. Mahathir sebagai tamak kerana menuntut lebih banyak kerusi Parlimen di Semenanjung pada pilihan raya umum akan datang.

Sikap mahu 'makan keliling' oleh  PPBM ini terserlah di dalam kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli kepada portal berita MalaysiaKini bahawa PPBM meminta diperuntukkan bilangan kerusi Parlimen paling banyak di Semenanjung Malaysia, malah asalnya sebanyak 80 kerusi.

Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul  Zaman Yusoff berkata, paling ketara memperbudak-budakkan PAN ialah PPBM yang membolot kedua-dua kerusi PAN di Wilayah Persekutuan dan kedua-dua kerusi PAN di Perlis sehingga PAN langsung tidak memperolehi sebarang kerusi di dua negeri ini. 

Lebih jelas lagi ialah bila kedua-dua kerusi yang PAN tandingi di dalam Pilihan Raya Kecil pada 18 Jun 2016 dahulu dan yang telah PAN jagai sejak detik itu, iaitu kerusi-kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Parlimen Sungai Besar, pun turut 'dirampas' oleh PPBM, katanya dalam kenyataan yang dipetik daripada Harakahdaily semalam.

Turut memperbudak-budakkan PAN ialah DAP yang menyerahkan kerusi-kerusi Parlimen Alor Gajah dan Parlimen Tanjong Piai kepada PPBM hanya untuk mendapatkan kerusi Parlimen Ayer Hitam milik PAN.

"Jika betul DAP menghormati PAN dan konsep Islam Rahmatan lil 'Alaminnya, mengapa tidak diberikan sahaja mana-mana kerusi milik DAP kepada PAN, bukan kepada PPBM, sebagai tukaran kepada kerusi ParlimenAyer Hitam milik PAN itu? soal Kamarul Zaman.

Oleh yang demikian tidak hairanlah bila Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hasan, Pengerusi PAN Perak, Asmuni Awi, Timbalan Pengerusi PAN Pahang, Syed Hamid Syed Mohamed dan lain-lain lagi membangkitkan layanan teruk terhadap PAN ini secara terbuka. 

Semoga layanan teruk terhadap PAN dalam soal agihan kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia ini mampu menyedarkan sebahagian pendokong PAN betapa perjuangan Islam yang cuba mereka bawa sukar terlaksana melalui Pakatan Harapan, kata Kamarul Zaman. 

“Hanya PAN yang sanggup berkorban untuk gabungan pembangkang tetapi parti komponen lain hanya memikirkan kemahuan sendiri, ” demikan keluh Aminolhuda seperti mana dilapor dalam portal berita Free Malaysia Today. 

Daripada 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS dahulu, PAN hanya diberikan 25 kerusi sahaja (38 peratus), berbanding 35 yang diberikan kepada PPBM, 4 kepada PKR dan satu kepada DAP,

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad, di dalam portal berita The Malaysian Insight berkata Konvensyen Pakatan Harapan hampir sahaja tidak mampu dilangsungkan bila timbul kebuntuan di dalam agihan kerusi tersebut. 

Kata Khalid, kebuntuan yang berlaku ekoran ketegasan semua parti mempertahankan kerusi masing-masing ini hanya berjaya dipecahkan sekali gus membolehkan konvensyen itu dilangsungkan setelah PAN setuju menyerahkan kerusi Titiwangsa kepada PPBM. 

"Seronok juga melihat cara parti-parti dalam Pakatan Harapan  memfaraidkan sesama mereka 65 kerusi Parlimen Semenanjung Malaysia yang ditandingi oleh calon-calon PAS sewaktu PAS bersama di dalam Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 dahulu, " kata penganalisis politik itu lagi.

Menurt beliau  sbanyak 38 peratus kerusi diperolehi oleh PAN daripada kerusi yang ditandingi PAS dulu, adalah bukti nyata kegagalan awal PAN di dalam misi yang dilaung-laungkannya untuk  menggantikan peranan PAS di dalam PH dengan konsep Islam Rahmatan lil ‘Alaminnya. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com