Acara Tarian Naga LED Terpanjang 3 Februari Ini


KUALA LUMPUR – Sempena sambutan Tahun Baharu Cina yang bakal tiba, satu acara tarian naga LED berukuran 600 kaki akan diadakan di sekitar Jalan Bukit Bintang pada 3 Februari ini, sekali gus bakal mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBR) sebagai tarian naga terpanjang di Malaysia.

Presiden tetap Persatuan Tarian Naga dan Singa Qi Ling Malaysia, Datuk Seri Chua Chin Boon berkata acara anjuran Sungei Wang Plaza itu bakal menyaksikan penyertaan seramai 89 pemain tarian naga.

Beliau berkata selain tarian naga terpanjang berkenaan, sebanyak 20 tarian naga pendek, kereta berhias bertemakan Tahun Baharu Cina serta tarian singa juga akan turut serta dalam acara perarakan sepanjang dua kilometer di sekitar Jalan Bukit Bintang dan Jalan Imbi itu.

“Melalui acara perarakan ini juga, kami dapat memperkenalkan budaya tradisional masyarakat Cina yang turut merangkumi elemen moden kepada orang ramai khususnya kepada pelancong asing dan masyarakat kaum lain,” katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di sini, kelmarin.

Katanya, acara yang akan bermula pada 7 malam itu mendapat sokongan lebih 20 badan bukan kerajaan serta persatuan-persatuan Cina di sekitar Lembah Klang serta dijangka menarik lebih 2,000 pengunjung termasuk pelancong asing.

Dalam pada itu, Pengurus Kompleks Sungei Wang Plaza, Yuen May Chee berkata selain acara perarakan, pelbagai persembahan tradisional masyarakat Cina juga akan diadakan di sekitar kompleks membeli-belah berkenaan pada hari tersebut seperti pertunjukan gendang 24 musim dan tarian tradisional.

“Setiap tahun kami akan bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dalam mempromosikan budaya masyarakat Cina pada setiap festival seperti Pesta Tanglung dan Dragon Boat Festival bagi menaikkan industri pelancongan negara.

“Oleh kerana perkembangan teknologi masa kini, ramai golongan muda tidak begitu meminati acara-acara tradisional seperti ini dan kami berharap dengan elemen-elemen moden seperti Tarian Naga LED dapat menarik minat mereka untuk terus menghargai budaya turun-temurun,” katanya.

Katanya, pihaknya juga turut menawarkan promosi membeli-belah khas untuk pelancong asing dengan memberi rebat serta baucer kepada mereka. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com