8 Wanita Antara Ditahan Jual Nombor Ekor


KOTA KINABALU - Lapan wanita dan seorang lelaki warga tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam kegiatan menjual nombor ekor empat digit haram di sekitar bandar raya ini, petang semalam.

Dalam operasi dikenali Ops Dadu Khas yang bermula jam 3 petang itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,052 dan peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan menjual loteri haram.

Suspek yang berumur 21 tahun hingga 49 tahun itu ditahan menerusi enam serbuan di sekitar pekan Inanam, Manggatal, Kampung Air dan Bandaran Berjaya.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata antara peralatan judi yang dirampas dalam operasi itu ialah telefon bimbit jenis Nokia, pencetak mini, kalkulator dan beberapa gulung kertas pencetak mini.

"Sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D7 Kota Kinabalu, anggota polis dari Balai Polis Inanam dan Balai Polis Manggatal menjalankan Operasi Khas Pembanterasan Elemen Perjudian di Inanam, Manggatal dan bandaraya Kota Kinabalu.

"Hasil maklumat awam itu, pasukan kami menangkap lapan wanita dan seorang lelaki tempatan atas aktiviti terbabit," katanya, di sini, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata, operasi itu sama akan diteruskan dari semasa ke semasa dan mengalu-alukan kerjasama orang ramai memberi sebarang maklumat.

Sumber: Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com