72,000 Dibuang Kerja Sejak 2016. Ini Sebab Mengapa Anda Tidak Perlu Risau!


KUALA LUMPUR - ISU peluang pekerjaan, kualiti perkerjaan, cabaran dalam pertumbuhan inklusif yang dihadapi dunia ketika ini adalah bertitik tolak daripada kelembapan ekonomi global sejak 2016, jelas Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Ekonomi dunia berhadapan dengan dua cabaran yang dihadapi secara serentak, (pertama) untuk memulihkan kesan kelembapan ekonomi dunia dan (kedua) mewujudkan peluang pekerjaan baru dalam persekitaran buruh yang berubah,” menurut ILO.

Keadaan itu juga tidak jauh berbeza berbanding Malaysia.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Sumber Manusia hari ini, lebih 72,000 pekerja dibuang kerja pada 2016 dan 2017, kebanyakan daripada sektor pembuatan terutamanya ketegori pekerja operator, pemasang loji dan mesin.

Ia adalah tambahan kepada lebih 183,000 penganggur yang sedang mencari pekerjaan yang mana 31 peratus adalah lepasan siswazah.

Laporan Bank Negara Malaysia pada tahun lalu pula menyatakan Malaysia adalah antara ekonomi yang paling terjejas akibat pengangguran belia di rantau ini, dengan jumlah pengangguran belia mencecah 10.7 peratus pada 2015.

Begitupun, bukan semuanya suram dalam sektor buruh.

Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) mensasarkan peningkatan 1.5 juta peluang pekerjaan baharu bagi tempoh 2016 ke 2020 dengan purata 300,000 pekerjaan baharu diwujudkan setiap tahun.

Negara juga memerlukan 35 peratus pekerja mahir menjelang 2020 berbanding hanya 28 peratus pada 2015.

Peningkatan peluang pekerjaan tersebut didorong peningkatan pelaburan terutamanya sektor swasta yang mencecah RM113.5 bilion seperti yang dilaporkan oleh Lembaga Pembangunan Pe­­­la­­buran Malaysia (MIDA) menerusi Laporan Ekonomi 2017/18.

Sementara itu, berdasarkan Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia bagi tahun 2017 pula menunjukkan lebih daripada 90 peratus peluang pekerjaan baharu diwujudkan adalah daripada sektor perdagangan borong dan runcit.

Dalam hal ini,  Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berpendapat, penting untuk bakat-bakat dalam negara untuk mempunyai daya keanjalan dalam menyesuaikan diri dengan perubahan keperluan kerja masa hadapan (future jobs) selain memastikan mereka sentiasa relevan dalam persekitaran global yang semakin kompetitif dan dinamik.

“Antara initiatif yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan termasuk penubuhan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA), menyediakan kemudahan pinjaman melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK), mengukuhkan dan memperkasakan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan menubuhkan 1Malaysia Outplacement Centre (1MOC) di bawah Pembangunan Sumber Manusia Bhd,” jelasnya.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com