6 Penagih Terjun Laut Di Yan Takut Ditahan AADK


ALOR SETAR - Gara-gara takut ditahan oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) , seramai enam penagih dadah sanggup menggadaikan nyawa dengan terjun ke dalam laut ketika serbuan dilakukan di kawasan pesisiran pantai Kampung Seberang Jaya, Yan, pagi semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Yan,  Mohammad Ramli berkata, port berkenaan dikatakan menjadi sarang terkenal penagihan dadah dan antara kawasan penagihan yang 'dibuka' 24 jam.

"Sarang dadah berkenaan bukan sahaja didatangi penduduk tempatan malah ada dalam kalangan mereka sanggup datang dari jauh untuk mendapatkan bekalan dan melepaskan gian," katanya.

Tambahnya, operasi tersebut bermula sekitar jam 10 pagi dengan kekuatan anggota seramai 32 orang.

Jelasnya lagi, antara risiko besar yang terpaksa dihadapi anggota penguatkuasa sepanjang serbuan yang dijalankan adalah apabila ada sebilangan penagih sanggup terjun ke laut serta memecut motosikal dengan laju bagi melepaskan diri.

"Namun begitu, kita berjaya menahan seramai 33 individu yang disyaki penagih dadah dan kesemua mereka di bawa ke Pejabat AADK Daerah Yan untuk tindakan lanjut.

"Dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan kesemua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine," katanya.

Mohammad berkata, antara penagih-penagih yang ditahan adalah mereka yang berusia antara 25 hingga 65 tahun dan bekerja sebagai nelayan namun ada dalam kalangan mereka bekerja sendiri dan menganggur. 

"Mereka akan disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983," katanya. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com