23 Pelajar MRSM Gerik Keracunan Akibat Spageti


IPOH – Sebanyak 23 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Gerik mengalami keracunan makanan selepas menikmati makan malam di asrama, Ahad lepas.

Exco Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi dan Kampung Baru negeri Datuk Dr Mah Han Soon berkata, pelajar terbabit yang terdiri daripada 11 lelaki dan 12 perempuan.

Mereka dipercayai mengalami keracunan makanan selepas menikmati sajian spageti daging pada malam itu.

Dr Mah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Hulu Perak pada pukul 12.45 tengah hari semalam.

“Pelajar berkenaan mengalami gejala ringan dan hanya mendapat rawatan di klinik swasta serta tiada kes yang dimasukkan ke wad,” katanya.

Menurut Dr Mah punca berlakunya keracunan makanan itu masih dalam siasatan pihak PKD Hulu Perak.

Dr Mah berkata antara tindakan yang telah diambil oleh PKD setakat ini ialah memberi pendidikan kesihatan kepada pelajar dan warga sekolah serta penutupan dapur asrama di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, seorang kakitangan di sebuah poliklinik swasta di Gerik yang enggan dikenali berkata 18 pelajar masing-masing sembilan lelaki dan sembilan perempuan berusia 17 hingga 14 tahun telah dirawat di premis itu kira-kira 9 pagi semalam.

“Kesemua mereka hanya dirawat sebagai pesakit luar dan tiada seorang pun pelajar yang dirujuk ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com