165.5 Kilo Ganja Bernilai RM496,500 Berjaya Dirampas Polis Kedah


ALOR SETAR - Dua lelaki berjaya ditahan oleh polis Kedah bersama-sama dengan 160 ketulan mampat ganja dipercayai seberat 165.5 kilogram (kg) dengan nilai RM496,500 dalam satu operasi di sekitar kawasan negeri Kedah dan Pulau Pinang, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, kedua-dua suspek ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kedah dalam satu serbuan serentak yang diadakan di kawasan parkir pasar raya Tesco Extra, Seberang Jaya, Pulau Pinang, pada jam 3.15 petang.

Intipan dilakukan anggota JSJN negeri selain mengekori sebuah kereta jenis Naza Citra yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 41 tahun dari Yan, Kedah.

Perjalanan suspek kemudiannya terhenti  sehingga ke kawasan parkir pasar raya berkenaan dan dipercayai menjadi lokasi pertemuan dengan seorang suspek berusia 27 tahun yang memandu kereta Perodua Alza.

Serbuan dilakukan terhadap kedua-dua suspek dan pemeriksaan fizikal turut dilakukan sebelum menjumpai barang salah.

 Kedua-dua suspek bersama kenderaan mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT) untuk pemeriksaan lanjut, katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda di sini, semalam.

“”Hasil pemeriksaan lanjut ke atas Naza Citra, polis menemui dua guni berwarna putih berisi 60 ketulan mampat disyaki dadah ganja seberat 61.9kg sementara pemeriksaan terhadap Perodua Alza menemui tiga guni putih mengandungi 100 ketulan mampat ganja seberat 103.6kg,” katanya.

Dalam pada itu, suspek pemandu Naza Citra dipercayai bekerja sebagai penjual daging di pasar sementara suspek yang memandu Perodua Alza dikatakan peniaga gerai makan.

Hasil saringan iar kencing terhadap mereka mendapati turut positif dadah.

Turut dimerampas wang tunai RM2,723 dan jam tangan Rolex daripada pemandu Naza Citra dan RM192 daripada pemandu Perodua Alza.

Menurut, kedua-dua suspek, yang berasal dari Pulau Pinang itu, ditahan reman seminggu bermula semalam untuk siasatan lanjut dengan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata pihaknya telah mengintip kegiatan suspek yang dipercayai mengambil bekalan dadah itu dari negara jiran dan dibawa masuk melalui Bukit Kayu Hitam sejak empat hingga lima bulan lepas untuk pasaran di Pulau Pinang. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com