100 Pasukan Dijangka Rebut Piala FA


KUALA LUMPUR - Saingan Piala FA yang bakal membuka tirainya secara rasmi 13 Februari ini, dijangka lebih sengit dan menarik apabila jumlah penyertaan bakal ditingkatkan kepada 100 membabitkan pasukan bertaraf amatur dan sosial sebagai medan mengasah bakat mereka.

Bermula dengan 40 pasukan musim ini, saingan kalah mati itu bakal menyaksikan sembilan pasukan amatur membuat penampilan pertama di pusingan awal dengan tujuh daripadanya pasukan Piala FAM.

Pemenang pusingan pertama itu akan menempah laluan ke peringkat kedua dengan pasukan dari Liga Super dan Liga Perdana bakal menanti mereka seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Kedah, Pahang dan Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, perkembangan itu sejajar dengan pengenalan dua liga baharu iaitu Liga Keempat dan Liga Kelima yang dijangka turut berentap di saingan Piala FA nanti.

"Hasratnya untuk menjadikan Piala FA pertandingan yang merangkumi semua kelab amatur, semi-pro dan sosial," kata Kevin.

"Kaedahnya sama seperti dipraktikkan di England, di mana Piala FA terbuka kepada pasukan bukan liga. Kejohanan itu akan menyaksikan tahap persaingan menjadi lebih kompetitif dan membolehkan lebih banyak pasukan bertanding selari dengan visi Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim."

Piala FA mula diperkenalkan pada tahun 1990 apabila 16 pasukan bertanding sebelum diperluaskan pada 1995 dengan memasukkan beberapa kelab amatur sehingga mencapai rekod 35 pasukan pada 2016 dan 2017.

Jelas Kevin lagi, sembilan kelab amatur dan sosial yang dijemput musim ini dipilih berdasarkan pelbagai kriteria dan untuk musim depan ia akan dipilih daripada pasukan yang bersaing di Liga Keempat dan Kelima.

"Pada masa akan datang, mungkin ada lebih daripada 90 pasukan bersaing di Piala FA dengan kelab amatur dan sosial yang bermain di pusingan awal sebelum menentang pasukan profesional," kata Kevin.

Sembilan pasukan amatur yang terpilih beraksi pada musim ini ialah SRCC Kuala Lumpur, Majlis Daerah Jempol, Axis-02 FC, CNA FC, Persada Integriti Bersatu FC, FA Cina Malaysia, Invictus FC, Jerantut FA dan Southern FC.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com