Warga Emas Maut Motosikal Rempuh Lori Di Yan


ALOR SETAR - Seorang warga emas mati di tempat kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh bahagian belakang sebuah lori dalam satu kejadian di Batu 18 Jalan Alor Setar-Sungai Petani, Yan kelmarin.

Kejadian menyayat hati itu berlaku kira-kira pukul 4.20 petang, mangsa dikenali sebagai Hamzah Aziz, 61, meninggal dunia akibat kecederaan parah. 

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintenden Muhamad Halim Yatim berkata, siasatan awal mendapati mangsa terlanggar bahagian belakang lori yang datang dari arah Alor Setar.

"Apabila tiba di lokasi kejadian, lori terbabit dilanggar motosikal mangsa yang keluar dari simpang sebelah kanan,” katanya.

Apa yang difahamkan Muhamad Halim, mangsa yang pada ketika itu tidak memakai topi keledar maut di tempat kejadian manakala pemandu lori terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Yan untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com