Wanita Alor Setar Buntu Cari Kos Rawatan Anak


ALOR SETAR - Seorang wanita berniaga dalam talian bagi mencari dana menampung kos perubatan anak tercinta yang mengalami masalah kesihatan.

Menurut Nor Hidayu Halim, 28, dia menjual pelbagai produk di laman sosial Facebook untuk membiayai kos perubatan anak bongsunya, Ieman Fayruzz Mikhail Abdul Rahim berusia setahun 11 bulan yang mengidap masalah paru-paru, asma dan sawan.

“Tapi, bukan selalu orang beli produk dijual. Kadang-kadang langsung tiada maklum balas diterima dari orang awam.

“Tetapi, hanya ini cara saya cari rezeki untuk sara kami anak beranak. Kalau boleh nak kerja, tetapi keadaan tidak mengizinkan,” katanya.

Kata Hidayu, keadaan kesihatan Ieman tidak menentu menyebabkan dia sukar untuk meninggalkan anak lelakinya.

“Tambahan pula, tak ada pengasuh berani untuk menjaga Ieman, disebabkan dia ada kalanya boleh sakit pada bila-bila masa,” katanya.

Katanya, dia buntu memikirkan nasibnya memandangkan tidak memiliki pendapatan tetap dan bergantung kepada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM200 sebulan untuk perbelanjaan Ieman.

“Kos rawatan dan ubat-ubatan untuk Ieman setiap bulan amat banyak disebabkan kesihatan anak saya selalu tidak menentu,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, dia terpaksa membuang perasaan malu untuk memohon bantuan bagi membolehkan tiga anaknya meneruskan hidup.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan seorang kanak-kanak yang bergantung kepada mesin oksigen untuk bernafas memerlukan bantuan kewangan mencecah RM1,000 sebulan untuk membiayai kos ubatan.

Difahamkan, kos kewangan berkenaan diperuntukkan untuk membeli ubatan khas dalam mesin oksigen dan susu khas diperlukan kanak-kanak itu.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com