Vaksin Denggi Dihentikan: Duterte Ikrar Hukum Pihak Bertanggungjawab


MANILA - Pejabat Presiden Filipina Rodrigo Duterte hari ini berikrar menghukum pihak bertanggungjawab susulan penggantungan program imunisasi denggi yang disifatkannya meletakkan ribuan nyawa berisiko.

Jabatan Kesihatan negara itu Jumaat lalu menghentikan penggunaan vaksin denggi dibuat Sanofi selepas syarikat berkata, penggunaannya perlu dihadkan berikutan bukti ia boleh memburukkan penyakit di kalangan penduduk yang sebelum ini tidak terdedah kepada jangkitan.

"Kita tidak akan membiarkan sesiapa yang bertanggungjawab daripada penipuan kesihatan umum terlepas, kerana meletakkan ratusan ribu nyawa kanak-kanak berisiko," kata jurucakap Duterte, Harry Roque dalam satu kenyataan.

Lebih 730,000 kanak-kanak berusia sembilan tahun dan ke atas menerima satu dos vaksin Dengvaxia tahun lalu. Program imunisasi itu sejajar dengan cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk pemvaksinan besar-besaran di negara endemik itu, kata pihak berkuasa kesihatan kelmarin.

Walaupun denggi tidak serius seperti malaria, ia tersebar secara pantas di kebanyakan bahagian di dunia. Virus itu membunuh kira-kira 20,000 orang setahun dan menjejaskan ratusan juta penduduk lain.

Ketika Dengvaxia adalah vaksin pertama diluluskan untuk denggi, saintis mengakui ia belum sempurna dan tidak memberi perlindungan sama rata terhadap empat jenis virus dalam ujian klinikal.

Satu analisis baharu daripada data klinikal enam tahun menunjukkan, vaksin Dengvaxia menyediakan manfaat perlindungan tetap ke atas demam denggi bagi mereka yang pernah dijangkiti.

Sanofi berkata, bagi mereka yang tidak pernah dijangkiti, lebih banyak jangkitan teruk mungkin berlaku dalam jangka panjang susulan pemvaksinan selepas dijangkiti denggi.

Roque berkata, tiada kes dilaporkan 'jangkitan teruk denggi' sejak vaksin itu diberi dan menggesa orang ramai 'tidak menyebarkan maklumat yang mungkin mencetuskan ketakutan tidak berasas.'

Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque berkata, jabatannya akan mengesan sejarah perubatan ribuan kanak-kanak yang diberi vaksin dan memperhebat pemantauan bagi memastikan penjagaan rapi diberi kepada sesiapa yang memerlukan. - Reuters

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com