Upiak dianggap gila kerana Tak Tun Tuang


Memadankan kain sarung, selipar saiz besar dan berbaju-T sudah cukup memberi gambaran bahawa wanita berasal dari Bukit Tinggi, Padang Sumatera Barat, Indonesia itu memiliki keistimewaan tersendiri dalam arena seni suara.

Tidak seperti artis-artis popular yang kelihatan cantik berbusana lengkap lagi indah buatannya, pelantun lagu Tak Tun Tuang itu lebih selesa memakai pakaian sebegitu biarpun bergelar sebagai artis.

Bahkan, pemilik nama Silvia Nanda atau lebih dikenali sebagai Upiak Isil pernah disalah erti malah diperlekehkan kerana didakwa membawa lagu orang gila dan tidak beretika, apatah lagi tidak semenggah dalam berpakaian.

“Saya menangis tidak henti-henti sehingga hilang semangat dan hampir berputus asa apabila dikecam khalayak.

“Mereka menganggap lagu Tak Tun Tuang sebagai lagu orang gila dan tidak beretika kerana saya berpakaian sedemikian. Mungkin ada yang ingin sengaja membuat saya patah semangat,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang media pelancaran single Tak Tun Tuang di Hotel Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rezeki

Penyanyi yang memperjuangkan lagu-lagu berkonsep humor itu juga berdepan banyak dugaan sepanjang pembikin single berkenaan.

Kata Upiak, dia terpaksa berjimat cermat, bahkan terpaksa meminjam duit daripada rakan-rakan bagi menanggung kos penghasilan lagu Tak Tun Tuang.

“Bagaimanapun, inilah keajaiban yang Tuhan berikan kepada saya apabila sentiasa bersujud dan mengingati-Nya. Klip video dan lagu yang dikecam tersebut menjadi tular hingga dikenali ke luar negara.

“Penerimaan yang diberikan terhadap lagu berkenaan juga cukup membuatkan saya berasa bahagia dan memanjat kesyukuran kepada Tuhan,” katanya sayu.

Siapa sangka, sejak berkecimpung dalam arena muzik sejak 12 tahun lalu, Upiak sebenarnya telah membikin sebanyak 19 buah album.

Begitupun, wanita yang terpaksa mengharungi kehidupan sukar sewaktu berusia 12 tahun sejak perpisahan ibu bapanya itu memberitahu, hanya lagu Tak Tun Tuang yang mendapat perhatian meluas dan membuahkan rezeki besar buat dirinya.

“Saya sama sekali tidak menjangka lagu yang telah dibikin sejak tiga tahun lalu bersama seorang sahabat, Ardi Tanjung mampu mencuri perhatian sehingga menjadi tular di beberapa buah negara.

“Saya telah menghasilkan 19 buah album sejak aktif menyanyi ketika berusia 13 tahun dan ini merupakan buah tangan pertama saya yang popular,” katanya seraya melemparkan senyuman.

Berbekalkan lagu yang mendapat perhatian sehingga lebih dua juta tontonan di laman YouTube, anak sulung daripada tiga beradik itu memberitahu, dia berpeluang keluar dari Padang dan terbang ke Malaysia dan Thailand atas urusan karier.

Bercerita mengenai lagu berkenaan, kata Upiak, ia berkisarkan pengalaman lucu seorang wanita belum mandi tetapi apabila memakai solekan, wanita berkenaan merasakan dirinya cantik.

Kekal imej

Ditebak soalan berhubung maksud perkataan ‘tak tun tuang’, penyanyi genit itu berkata frasa berkenaan tidak membawa sebarang maksud tetapi merupakan rentak gendang.

Lebih membanggakan lagu Tak Tun Tuang yang berdurasi 3:35 saat itu membuka pintu rezeki kepada Upiak apabila dilamar sebuah syarikat rakaman tanah air, MVM Production Sdn. Bhd. sebagai artis naungan.

Dalam pada itu, dia memberitahu akan terus mengekalkan imej memakai sarung dan selipar besar kerana sudah melakukannya untuk 19 album.

“Saya berasa selesa memadankan pakaian tersebut dan akan terus mengekalkan imej ini. Saya mempunyai banyak sarung yang diberikan oleh ibu angkat.

“Biarpun sarung kelihatan buruk tetapi saya sangat menghargai pemberian mereka. Penampilan saya mungkin agak janggal tetapi orang di bahagian kampung halaman mengenali saya dengan imej ini,” ujarnya sambil ketawa besar.

Tanpa berselindung, wanita itu menjelaskan dia juga merupakan seorang pelawak di daerah kelahirannya terutama apabila ada persembahan tertentu. Justeru, dia harus menyesuaikan penampilan dengan corak persembahan.

“Orang kampung sangat senang dengan imej saya. Namun, saya masih ingat, pernah juga sarung yang dipakai tertanggal ketika mengadakan persembahan.

“Ketika itu, mujur saya sentiasa memakai seluar panjang bahagian dalam sarung sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Cinta

Menyentuh mengenai kehidupan peribadi, Upiak mengakui, dia kini berstatus janda setelah bercerai dengan bekas suaminya kira-kira dua tahun lalu.

“Kami telah berkahwin pada tahun 2013, tetapi jodoh kami tidak panjang dan akhirnya bercerai pada 2015. Mungkin tidak secocok,” katanya dalam nada sedih.

Tidak mahu larut dalam emosi sedih, dia segera menjelaskan, hanya ingin menumpukan perhatian terhadap kerjaya dan membahagiakan keluarganya.

Menurut Upiak, kehidupannya kini banyak berubah gara-gara lagu Tak Tun Tuang menjadi popular. Jika dahulu, hanya dia yang meminati orang lain, kini dirinya pula yang menjadi perhatian, khususnya lelaki.

“Kalau dulu, apabila meminati seseorang mereka tidak melayan saya. Sejak mula dikenali ini, ada antara mereka mula bertanya khabar melalui telefon, malangnya saya pula sibuk dan tidak sempat untuk melayan,” katanya.

Ditanya sama ada akan mempertimbangkan sekiranya ada lelaki dari Malaysia meminati dirinya, Upiak hanya ketawa. Ternyata dia tidak cerewet dalam soal jodoh.

“Saya ingin mencari teman hidup yang lebih berusia daripada saya. Dia perlu rajin bekerja dan boleh menerima diri dan keluarga saya,” katanya menutup bicara.

Sumber - Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com