Tindakan Wajib Solat Sebelum Pulang Sekolah Tidak Bercanggah Dengan Akta Pendidikan


KUANTAN - Tindakan Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan yang ingin mewajibkan setiap sekolah, menganjurkan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah adalah tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996.

Timbalan Presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam), Salkukhairi Abd Sukor berkata, salah satu langkah yang berkesan dan lebih praktikal dalam melaksanakan pembelajaran Pendidikan Islam adalah melalui amalan solat berjemaah di sekolah.

Jelasnya, Seksyen 50 Akta Pendidikan 1966 memperuntukkan supaya semua sekolah, termasuk sekolah swasta, wajib mengadakan kemudahan bagi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam, apabila terdapat lima orang murid Islam atau lebih di sesebuah sekolah.

"Solat terutamanya solat berjemaah, asas paling utama dalam Pendidikan Islam, harus diterapkan kepada setiap pelajar Muslim di sekolah sama ada rendah mahupun menengah," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Salkukhairi berkata demikian sebagai mengulas tentang bantahan Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim terhadap cadangan tersebut yang dikatakan bertentangan dengan semangat sekolah kebangsaan.

Menurutnya, berkemungkinan Noor Azimah tidak memahami bahawa perkara yang dilakukan di sini tidak boleh ditolak jika ia berlandaskan agama Islam memandangkan ia adalah agama rasmi.

"Saya tidak nampak manakah asas yang beliau katakan tindakan menggalakkan pelajar Muslim bersolat jemaah di sekolah itu menyalahi semangat sekolah kebangsaan.

"Barangkali mungkin beliau tidak baca Perlembagaan Persekutuan sendiri yang jelas menyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan. Lagi pun tidak timbul isu pelajar bukan Islam dipaksa terhadap cadangan tersebut, kerana mata pelajaran agama Islam hanya diambil oleh pelajar Muslim dan bukan diwajibkan kepada semua," katanya.

Sementara itu, katanya, kementerian pelajaran seharusnya meningkatkan lagi usaha memperkasakan pendidikan Islam di setiap sekolah termasuk sekolah kebangsaan.

"Ini kerana hanya melalui asas pendidikan agama yang kuat diterapkan di sekolah dapat menjadi benteng kepada golongan muda menghadapi cabaran-cabaran dalam dunia moden hari ini," katanya.- BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com