Tiga Beranak OKU Dapat Perhatian Ahli Parlimen Baling


ALOR SETAR – Kesukaran hidup dihadapi tiga beranak orang kurang upaya (OKU) di Kampung Seberang Pekan, Baling dekat sini mendapat perhatian Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Bagi tiga beranak OKU tersebut, Mohd. Qhairol Fahmi Ghazali, 18, kehidupannya bersama ibu, Rohani Isahak, 53, dan bapa, Ghazali Abdul Rahman, 57, selama ini hanya mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain belas ihsan jiran-jiran.

“Kami menerima bantuan JKM yang jumlah keseluruhannya RM650 sebulan, dengan wang itu kami membeli barangan dapur.

“Wang itu juga digunakan untuk membawa bapa ke hospital bagi mendapatkan rawatan kerana lumpuh akibat kemalangan jalan raya tahun lalu,” kata Mohd. Qhairol Fahmi ketika ditemui selepas menerima kunjungan Abdul Azeez di rumahnya semalam.

Mohd. Qhairol Fahmi mengalami kecacatan di kedua-dua kakinya manakala ibunya pula cacat pendengaran.

Mengulas lanjut, Abdul Azeez berkata, beliau terharu apabila berkunjung ke rumah tiga beranak itu yang tidak pernah patah semangat dalam menjalani kehidupan.

“Saya amat berharap supaya Mohd. Qhairol Fahmi memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi bagi mengubah nasib keluarga,” ujarnya yang dipetik dari Utusan Online.

Dalam kunjungan itu, Mohd. Qhairol Fahmi turut dihadiahkan sebuah basikal elektrik bagi memudahkan pergerakannya. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com