Tiada Negara Buat UTC Seperti Malaysia - Najib


Datuk Seri Najib Tun Razak berkata perkhidmatan seperti yang disediakan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) hasil usaha kerajaan setakat ini tidak mampu dilaksanakan di mana-mana negara lain.

"Saya pergi (melawat), saya tanya dengan rakan-rakan (sejawat) yang lain...tak ada.

"Sebab UTC ini buka sehingga pukul 10 malam tiap-tiap hari kecuali cuti umum sahaja, dan inilah satu daripada tarikannya... satunya bawah satu bumbung, keduanya buka sampailah lewat malam, " kata perdana menteri semasa berucap merasmikan UTC pertama di Negeri Sembilan di Ampangan, semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Perbendaharan, Kementerian Kewangan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah dan Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaludin Said.

UTC Negeri Sembilan merupakan UTC ke-20 yang dibangunkan menelan belanja RM34.26 juta dan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan menggunakan bangunan sedia ada.


Berucap di hadapan kira-kira 10,000 hadirin, perdana menteri turut berkongsi cerita tentang perkhidmatan yang disediakan di UTC.


"Baru-baru ini saya di Kota Kinabalu, Sabah, saya berbual dengan beberapa orang pengamal media sosial, ini bukan semestinya penyokong kerajaan dan orang parti, ini orang biasa. Saya tanya... beritahu saya, dalam banyak-banyak yang kerajaan lakukan, perkhidmatan yang diberikan kerajaan, beritahu saya yang mana satu yang paling disenangi oleh rakyat dan paling berkesan sekali"

"Secara sebulat suara semua orang kata UTC...sebab ada seorang itu pejabat dia di depan UTC Kota Kinabalu dan dia kata sampai pukul 10 malam pun orang sesak-sesak datang. Dia dapat lihat sendiri, dan yang kedua, ada seorang rakyat Malaysia keturunan India, dia nak ke India dengan mak dia, sampai ke airport tiba-tiba dia tengok pasport mak dia dah luput.


"Dia sempat bekejar ke UTC Sentul dalam masa kurang sejam pasport telah diperbaharui dan dia sempat kejar ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) naik kapal terbang," katanya.

Najib berkata inilah cerita-cerita yang sebenarnya dan membuktikan bahawa transformasi yang kerajaan sedang perjuangkan sudah membuahkan hasil.

Negeri Sembilan, menurut perdana menteri, akan muncul sebagai sebuah negeri yang akan maju dan berdaya saing dalam masa beberapa tahun akan datang hasil daripada transformasi yang dilakukan kerajaan walaupun belum lagi menerima manfaat kemudahan kereta api laju (HSR) dan projek Malaysia Vision Valley (MVV).

Najib dalam pada itu turut menarik perhatian bahawa perkhidmatan baharu iaitu 1Serve diperkenalkan di UTC Negeri Sembilan, menggabungkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di kaunter yang sama.

"Jadi tiga-tiga boleh kita uruskan di satu tempat. Ini satu pembaharuan di UTC di Ampangan ini dan kita beri tumpuan pada orang muda mencari pekerjaan. Di sini kita buat job centre, kita ada SL1M (Skim Latihan 1Malaysia), HRDF (Tabung Pembangunan Sumber Manusia) dan Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera).

"Jadi semua boleh tanya peluang-peluang untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Saya juga nak maklumkan sejak Oktober 2017, sejumlah 54 juta kunjungan pelanggan telah direkodkan di UTC seluruh negara. Itulah kejayaan kita," katanya.

Berkaitan permintaan Mohamad supaya dibina sebuah jejambat dan sebuah dewan di Ampangan, perdana menteri berkata perkara itu akan diluluskan peruntukannya.

UTC Negeri Sembilan yang terletak di Jalan Seremban-Kuala Pilah mula beroperasi pada 20 Nov lepas.

Selain Kementerian Sumber Manusia, jabatan dan agensi lain yang menempatkan cawangan di UTC itu ialah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Lembaga Tabung Haji, Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia-Y Centre.

Agensi-agensi negeri, TM Point, Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS), Balai Polis, Klinik Kesihatan,Klinik Pergigian, JPN, JIM dan JPJ juga terdapat di UTC itu.

Di Negeri Sembilan, sebanyak 12 Pusat Transformasi Luar Bandar mini dibuka di Jempol, Kuala Pilah, Tampin, Seremban, Jelebu dan Port Dickson bertujuan membolehkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan awam dengan mudah secara berpusat di satu lokasi.

- Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com