Terlalu "Kuat", Pakatan Harapan Bakal "Sapu Bersih" Semua Kerusi Di Kedah?


ALOR SETAR - Pakatan Harapan yang terdiri daripada Parti Amanah Negara (PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), DAP dan PKR dikatakan bakal menguasai keseluruhan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Jangkaan tersebut adalah berdasarkan kepada sokongan yang diperoleh gabungan parti pembangkang itu di media sosial yang merangkumi jumlah like, komen dan reaksi balas khususnya di laman Facebook.

Difahamkan bahawa Dato' Seri Mukhriz Mahathir yang mengetuai Pakatan Harapan Kedah dapat menewaskan kehebatan PAS Kedah dengan mudah hanya melalui populariti yang diraih di kalangan netizen.

Contohnya, biarpun baru pulang ke Kedah kira-kira 4 bulan sebelum PRU ke-13 berlangsung, penyokong Mukhriz mendakwa hanya dengan beliau seorang diri saja telah berjaya menjatuhkan Kerajaan PAS Kedah yang diketuai oleh Almarhum Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Ketokohan Mukhriz yang terlampau banyak berjasa menyediakan ratusan ribu pekerjaan sehingga "berjaya" menyelesaikan masalah pengangguran terutama di kalangan anak muda di negeri ini menjadi "tonik" kepada kemenangan Pakatan Harapan nanti.

Selain itu, "aura hebat" yang dimiliki anak bekas Perdana Menteri itu juga telah berjaya mengubah sikap generasi muda di negeri ini yang dihiasi dengan akhlak "mahmudah", terpuji dan langsung tidak memaki hamun, apatah lagi mencarut.

"Kehebatan" Mukhriz lebih terserlah apabila kononnya beliau telah berjaya membawa "ratusan bilion" ringgit pelaburan asing ke negeri Kedah ketika memerintah negeri ini hampir tiga tahun yang lalu.

Desas-desus mengatakan bahawa gelaran "Mat Lena" tidak pernah diungkap mula dari bibir Mukhriz selama ini dan beliau sering menyeru masyarakat di Kedah supaya tidak menghina Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, di Stadium Darulaman.

Meskipun orang Kedah difahamkan mengecam para pemimpin PAN dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar kerana sanggup bersekongkol dengan DAP yang disifatkan "anti-Islam", namun mereka tidak mengecam Mukhriz biarpun beliau lebih akrab dengan kepimpinan DAP.

Malah, biarpun Mukhriz dan bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad memuja-muji DAP sebagai sebuah parti terbaik di negara ini, semua orang Kedah terutama golongan netizen tetap menyokong penuh dua tokoh "terbilang" itu.

Walau bagaimanapun, sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai Kerajaan Negeri Kedah pada PRU ke-14 nanti, Mukhriz dikatakan tidak akan kembali menjadi Menteri Besar di negeri ini ekoran menyasarkan kerusi Menteri kanan di peringkat pusat.

Sebaliknya, PPBM Kedah dijangka akan memberikan kerusi lebih kepada PAN untuk membentuk majoriti parti terbesar di dalam Dun dan berkemungkinan besar menamakan bekas Exco Kerajaan Negeri, Dato' Phahrolrazi Zawawi sebagai calon Menteri Besar.

Sementara itu, parti-parti lain seperti DAP dan PKR pula dijangka bakal dijanjikan dengan kerusi Exco Kerajaan Negeri bagi memastikan agenda Pakatan Harapan menguasai tampuk pemerintahan negeri ini.

Desas-desus di peringkat akar umbi juga dikatakan kononnya PAS Kedah kini hanya tinggal "50 orang" penyokong sahaja, manakala UMNO dan parti komponen BN pula hanya memiliki "70 orang" penyokong sahaja.

Turut dikatakan bahawa kononnya hampir "90 peratus" rakyat negeri Kedah kini telah mendaftar sebagai "ahli seumur hidup" PPBM, manakala "9 peratus" lagi merupakan ahli PAN, DAP dan PKR.

Justeru itu, berdasarkan jangkaan yang tidak dapat disahkan kesahihan atau dipastikan kebenarannya ini, dijangka Pakatan Harapan akan menguasai kerajaan negeri Kedah sehingga hari kiamat tiba.

Sekali lagi dimaklumkan, jangkaan ini tidak dapat dipastikan benar atau tidak. Harap maklum. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com