Terkejut Dilantik Ketua Jurulatih Kebangsaan, Ini Respon Cheng Hoe


ALOR SETAR - Tan Cheng Hoe yang diumumkan sebagai Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya meminta semua penyokong sukan bola sepak tanah air untuk memberi masa kepada beliau untuk merancang masa depan skuad kebangsaan itu.

Cheng Hoe yang dihubungi Kedahnews.com sejurus diumumkan Ketua Jurulatih Kebangsaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata, beliau sendiri agak terkejut dengan perlantikan tidak diduga itu.

"Sudah tentu saya terkejut (apabila diumum sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan).

"Saya harap semua penyokong skuad Harimau Malaysia untuk bersabar dan memberi saya masa untuk mengendalikan skuad kebangsaan," katanya kepada Kedahnews.com, sebentar tadi.

Anak kelahiran Kedah itu turut menjunjung kasih mengucapkan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, atas kepercayaan dan peluang yang diberikan untuk mengemudi pasukan kebangsaan itu.

Jelas Cheng Hoe, beliau akan mengadap TMJ untuk mengadakan perbincangan mengenai perancangan dan masa depan skuad Harimau Malaya.

"Saya menjunjung kasih kerana TMJ memberikan saya peluang untuk mengendalikan pasukan kebangsaan. Saya akan mengadap baginda untuk berbincang mengenai perancangan dan masa depan pasukan," ujar beliau.

Walau bagaimanapun, Cheng Hoe tetap mengakui bahawa perlantikan sebagai Ketua Jurulatih Kebangsaan itu juga merupakan satu cabaran buatnya untuk membuktikan kebolehan sebagai jurulatih tempatan.

"Sebenarnya, ia merupakan satu cabaran buat saya," katanya ringkas mengenai perlantikan tersebut.

Bekas Ketua Jurulatih Kedah itu sebelum ini dilantik sebagai Penolong Ketua Jurulatih Kebangsaan sebelum diumum sebagai Ketua Jurulatih skuad Kebangsaan menggantikan bekas penyandangnya, Nelo Vingada.

Jurulatih yang berasal dari Argentina itu bertindak melepaskan jawatan sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya susulan dari prestasi buruk skuad bimbingannya yang kini menghuni tangga 174 ranking dunia yang merupakan antara rekod terburuk skuad negara.

Justeru itu, dijangka Cheng Hoe bakal menggalas tugas paling berat dalam sejarah negara untuk mengembalikan prestasi dan kegemilangan skuad Harimau Malaya yang sebelum ini pernah melayakkan diri ke kejohanan Olimpik. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com