Sultan Kedah Terima Darjah Kebesaran Perak


ALOR SETAR - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, semalam telah menerima Darjah Kerabat Diraja Yang Amat Dihormati Perak (DK).

Penganugerahan tersebut dikurniakan oleh Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa di Istana Anak Bukit, di sini, kira-kira jam 12 tengah hari.

Malah, penganugerahan berkenaan adalah sempena ulang tahun Keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang ke-61 pada bulan lalu.

Sejurus selesai istiadat mempersembahkan darjah tersebut, Mufti Kedah, Datuk Fadzil Awang memimpin bacaan doa diikuti sesi pertukaran cendera kenangan.

Berangkat sama, Raja Muda Kedah,Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Tunku Bendahara Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani.

Turut hadir Orang Kaya-Kaya Seri Adika Raja Shahbandar Muda, Datuk Seri Ir Mohamad Othman Zainal Azim, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Bakar Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak,  Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Sebaik selesai majlis penganugerahan, baginda berdua bersama Kerabat Diraja kedua-dua negeri berangkat ke Anjung Istana untuk sesi bergambar.

Selepas majlis santapan tengahari di Dewan Santapan Lama , baginda berdua berangkat pulang.

Terdahulu, Sultan Sallehuddin dimasyhurkan sebagai Sultan Kedah Ke-29 pada 12 September lalu turut dianugerahkan Darjah Kerabat Johor Yang Amat Dihormati Pangkat Pertama (DK1) oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 30 Oktober lepas.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com