Suami Isteri Dituduh Tipu Pakej Umrah


KUANTAN - Pasangan suami isteri tidak mengaku salah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan berkaitan penyelewengan wang pakej umrah bernilai RM40,380.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Pirus Yusof Khan, 47, yang bekerja sebagai ejen pelancongan dituduh melakukan pecah amanah ke atas wang milik pesara swasta, Ramli Hamid, 62, bagi tujuan mengerjakan umrah.

Dia dituduh melakukan penyelewengan tersebut antara tempoh September hingga November lalu di premis KRS Travel Sdn. Bhd. yang beralamat di A-05 Tingkat 1 Jalan Bukit Sekilau di sini.

Sementara itu, isteri tertuduh, Nur Sureena Intachat Abdullah, 43, pula dituduh bersubahat bersama Mohd. Pirus di premis serta tempoh yang sama bagi melakukan penyelewengan ke atas wang milik Ramli.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara minimum dua tahun sehingga maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Sejurus pertuduhan dibacakan, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap tertuduh dan memutuskan 9 Januari tahun depan sebagai tarikh sebutan kes.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com