Srikandi Keluar Parti "Impak Hebat" Ceramah Mukhriz, Mahfuz Di Pendang


ALOR SETAR - Tindakan lima kepimpinan sayap Srikandi Parti Pribumi Bersatu Kedah (PPBM) keluar parti petang semalam dilihat sebagai "impak hebat", kesan dari ceramah politik anjuran parti itu di Pendang, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pendang, Dato' Othman Abdul berkata, beliau percaya bahawa itulah "hasil positif" dari ceramah PPBM yang berlangsung di Kampung Baru, sebelum ini.

"Hasil ceramah hebat PPBM di Kampung Baru tempuh hari, hari ini Ketua Serikandi PPBM Pendang keluar parti," katanya mengulas mengenai insiden yang dipercayai memberi tamparan hebat kepada PPBM Kedah itu.

Menyindir lanjut, Ketua Penerangan UMNO Kedah itu berkata, susulan dari tindakan keluar parti oleh barisan kepimpinan Srikandi PPBM Kedah itu,

"Setelah tiga orang Ketua Serikandi PPBM buat PC (sidang media) keluar parti, pemimpin dan penyokong PPBM meroyan sakan dalam Facebook," ujarnya.

Sebelum ini, Pengerusi PPBM Kedah, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar dan Ketua Bahagian PPBM Pendang, Abdul Razak Khamis dilapor telah hadir memberi ceramah politik di Kampung Baru, Pendang.

Meskipun menerima sambutan yang agak baik pada awal program ceramah itu, ramai yang meninggalkan lokasi di pertengahan majlis dipercayai kerana hujan lebat dan ramai yang hadir itu merupakan "orang luar" yang "diimport" bagi meramaikan majlis berkenaan.

Semalam, Exco Srikandi PPBM Pusat merangkap Ketua Srikandi PPBM Bahagian Kuala Kedah, Zuraini Kamal, dua Ahli Jawatankuasa (AJK) Srikandi PPBM Kedah, Halimaton Saadiah Shah Mat (Ketua Srikandi PPBM Pendang) dan Rukiza Abu Bakar (Ketua Srikandi PPBM Pokok Sena) bertindak meletakkan jawatan dan bertindak keluar dari parti.

Selain itu, dua AJK Srikandi Bahagian Kuala Kedah, Sopi Aziz dan Fatimah Ahmad juga mengikut jejak yang sama pada sidang akhbar yang berlangsung di Hotel Sri Malaysia, di sini, semalam.

PPBM yang dipengerusikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini memutuskan untuk bersekutu kuat dengan DAP, PAN dan PKR di dalam gabungan Pakatan Harapan, sekali gus mengherdik kepimpinan PAS dengan pelbagai tohmahan.

Sementara itu, Mukhriz yang mengepalai Pakatan Harapan Kedah turut dilaporkan gagal memujuk PAS Kedah untuk bekerjasama dengannya, sebelum kemudian mencari jalan mudah "memancing" beberapa pemimpin PAS untuk menyertai PPBM.

Meskipun berjaya "mencuri" Adun Anak Bukit, Dato' Amiruddin Hamzah, untuk menyertai PPBM, namun tindakan tersebut disambut baik oleh PAS yang menganggap ia sebagai satu "pembersihan" parti dari anasir "duri dalam daging" di dalam parti Islam itu.

Sebaliknya, PPBM kini semakin huru-hara apabila berdepan ancaman diharamkan oleh Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (RoS) akibat melanggar perlembagaannya sendiri selepas diadu oleh ahlinya sendiri.

Malah kini difahamkan semakin ramai pemimpin dan ahli parti itu yang bertindak keluar parti akibat kemelut dalaman yang gagal diselesaikan kepimpinan PPBM, sekali gus menyaksikan parti itu semakin hilang sokongan serta pengaruh. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com