Seperti Dijemput Malaikat Maut - Siti Sarah


KUALA LUMPUR - Penyanyi terkenal, Siti Sarah Raisuddin, 32, menjelaskan, tindakannya meminta maaf kepada semua orang termasuk suami tercinta, Shuib Sepahtu, 32, ketika sakit tempoh hari ialah kerana merasakan dirinya seperti hendak mati.

Tidak pernah ditimpa kesakitan sedemikian, Siti Sarah mengakui, pengalamannya diuji dengan sakit sangat menakutkan dan kerana itu dia berasakan sudah tiba masa untuk memohon keampunan daripada keluarga dan sahabat di sekelilingnya.

“Jujurnya ketika itu saya rasa tak sedap hati. Tak pernah ada pengalaman pitam dan pengsan. Apabila jadi macam itu, tipulah kalau kata saya tak panik atau menggelabah. Bagaimanapun, saya cuba kawal perasaan, tenangkan diri.

“Apabila sampai hospital, doktor dapati tekanan darah saya rendah. Lepas beberapa jam rawatan diberikan, keadaan tubuh badan saya kembali normal dan stabil,” katanya kepada Utusan Online.

Katanya lagi, sakitnya berpunca daripada keletihan yang melampau lantaran jadual kerja seninya yang padat.

Dalam masa sama, pelantun lagu Kesetiaan itu menafikan rejim dietnya menyumbang kepada kemerosotan tahap kesihatannya.

“Saya makan seperti biasa, bukannya tak makan langsung. Itu bunuh diri namanya. Cuma saya memilih makanan yang lebih sihat memandangkan usia semakin meningkat.

“Tambahan pula, saya fobia untuk kelihatan gemuk seperti sebelum ini. Selepas melahirkan bayi sulung dan kedua, berat badan mencecah hingga 70 kilogram. Sedangkan sebelum itu tidak pernah pun cecah 50 kilogram.

“Jadi, saya amalkan pemakanan sihat supaya dapat menurunkan berat badan dengan kaedah yang betul,” jelasnya ketika ditemui usai majlis pelantikannya sebagai duta produk kesihatan rambut jenama tempatan, Sugardoll di sini semalam.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com