Selamat Kembali Ke Kedah Marcote!


ALOR SETAR - Bekas penolong jurulatih Kedah musim 2015, Ramon Marcote hampir pasti dilantik sebagai ketua jurulatih skuad Helang Merah bagi musim 2018.

Kedatangan Marcote di Alor Setar, Kedah malam semalam dipercayai untuk memuktamadkan kontraknya dengan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

Hal tersebut jelas apabila dimaklumkan KFA di dalam laman Facebook rasminya semalam.

Malah peminat Kedah turut berkongsi beberapa keping gambar bersama dengan Marcote sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar, malam Rabu di media sosial.

"Ramon Marcote tiba malam tadi (Rabu) di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar melalui perjalanan jauh dari kampung beliau iaitu Cee dan mengharungi tempoh 29 jam dari A Coruna, Sepanyol.

"Ketibaan beliau adalah untuk perbincangan memuktamadkan kontrak dalam masa terdekat bersama Kedah FA sebagai ketua jurulatih skuad Liga Super Kedah bagi musim 2018," menurut kenyataan itu.

Selain itu, turut dimaklumkan bahawa Presiden KFA, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah akan membuat pengumuman rasmi mengenai khabar gembira tersebut dalam masa terdekat setelah termeterainya kontrak antara Marcote dan persatuan berkenaan.

Terdahulu, usaha membawa kembali Marcote ke Kedah merupakan hasil cetusan idea penaja pasukan Helang Merah, ECK Development Sdn Bhd yang akhirnya mendapat restu pengurusan tertinggi KFA.

Ketika itu, Pengarah ECK Development Sdn Bhd, Puan Sri Ginney Chew di halaman Facebook berkata beliau memerlukan 25,000 tanda suka (like) untuk membawa masuk Marcote sebagai ketua jurulatih Kedah yang baru.

Usaha tersebut turut mendapat pujian dan sokongan penuh penyokong setia hijau kuning.

Pada musim 2015, Marcote pernah bertanggungjawab sebagai jurulatih kecergasan  dan namanya tidak asing di kalangan penyokong bola sepak Kedah apabila berjaya mengemudi pasukan itu ke pentas akhir Piala Malaysia 2015 semasa ketiadaan Tan Cheng Hoe.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu mempunyai pengalaman luas dalam sistem akademi bola sepak Atletico Madrid di mana beliau berperanan jurulatih projek pembangunan kelab tersebut.

Pada masa sama, skuad Helang Merah dilaporkan akan memulakan latihan pra-musim pada Isnin depan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com