"Saya Terima Pengguguran Ini Dengan Hati Terbuka" - Syafiq Ahmad


ALOR SETAR - Syafiq Ahmad menzahirkan rasa terkejut dan pasrah dengan keputusan penggugurannya dari skuad Bawah 23 Tahun negara sekaligus menepis dakwaan bahawa dia menghilangkan diri selepas majlis perkahwinannya.

Menurut Syafiq, keputusan yang dibuat Datuk Ong Kim Swee itu agak memeranjatkan kerana sebelum ini jurulatih berkenaan bersetuju memberi cuti kepadanya sehingga semalam (6 Disember) bagi menguruskan perkahwinannya.

"Apapun saya terima pengguguran ini dengan hati terbuka, mungkin bukan rezeki saya serta ada hikmah di sebaliknya," kata Syafiq.

Malah, Syafiq yang baru mendirikan rumah tangga dengan Nor Amalina Norain pada 23 November lalu berkata, dia mematuhi semua arahan diberikan Kim Swee dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) semasa membuat permohonan cuti tersebut.

"Selepas majlis perkahwinan di pihak pengantin perempuan pada 26 November lalu, saya ada menghubungi jurulatih untuk memohon cuti kerana mahu menguruskan majlis di pihak saya pula pada 3 Disember lalu.

"Pada awalnya, saya meminta sehingga 10 Disember tapi beliau berkata ia terlalu lama. Beliau memberi saya cuti sehingga 6 Disember dan mahu saya melaporkan diri pada 7 Disember.

"Malah, saya juga telah menulis surat memohon cuti secara rasmi daripada FAM seperti diminta seorang pegawai badan bola sepak itu. Tiba-tiba dapat surat kata saya digugurkan," ujarnya seperti dilaporkan BH Online.

Pada masa sama, penyerang muda Kedah itu tidak menafikan dia berasa agak kecewa kerana tidak dapat bersama skuad negara ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23, di China bulan depan selepas turut sama memerah keringat membantu skuad itu layak ke sana.

"Memang menjadi impian saya untuk beraksi di kejohanan itu kerana sudah terbabit bersama skuad B-23 sejak awal. Saya tidak sangka digugurkan kerana saya tidak melanggar sebarang disiplin atau peraturan.

"Jika mereka meminta saya melaporkan diri lebih awal, sudah pasti saya berbuat begitu kerana saya memang ingin bersama skuad ke China.

Sementara itu bagi Kim Swee, dia menjelaskan tindakannya menggugurkan Syafiq adalah demi kebaikan pasukan serta pemain itu sendiri.

"Kami sudah berlatih hampir 10 hari dan jika saya memanggil Syafiq yang sekarang tidak berada pada tahap kecergasan terbaik, kami perlu mengadakan satu sesi latihan khas untuk dia dan saya tidak nampak perkara itu akan berlaku dalam masa singkat," katanya. - Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com