Rasuah Berkait Rapat Dengan Moral – Asyraf Wajdi


KUALA LUMPUR – Undang-undang yang ketat dan pembentukan sistem yang komprehensif bagi membendung jenayah rasuah tidak akan berjaya jika anggota masyarakat sendiri tidak mempunyai nilai moral yang baik, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Beliau berkata untuk Malaysia bergerak ke arah sebuah negara yang dihormati, semua pihak perlu melihat kembali kepada generasi yang bakal dilahirkan pada masa akan datang terutamanya menjelang Transformasi Nasional 2050 (TN50).

“Sebab itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil pendekatan ‘bottom up’ (dari bawah ke atas) dengan mendapatkan maklum balas daripada generasi yang akan hidup pada TN50 nanti.

“Ini kerana, bercakap soal integriti dan rasuah tidak akan selesai walaupun ada kerajaan baharu sekalipun jika manusia itu sendiri tidak ada nilai,” kata Asyraf Wajdi pada Sidang Kemuncak Pemerkasaan Milenia (MES) 2017 anjuran Biro Pelajar Luar Negara UMNO, di sini semalam.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan dalam sesi bertajuk ‘Maqasid Syariah dalam Dasar Awam dan Tadbir Urus’ mengenai faktor Malaysia berada pada kedudukan ke-55 daripada 176 buah negara dalam Indeks Persepsi Rasuah tahun lepas walaupun pelbagai prosedur dan undang-undang telah digubal oleh kerajaan bagi membanteras jenayah itu.

Asyraf Wajdi berkata bagi melahirkan generasi yang mampu membangunkan negara secara seimbang, kerajaan melalui TN50 berhasrat melahirkan 125,000 huffaz profesional di seluruh negara menjelang 2050.

“Kita ingin melahirkan generasi ulul albab (seimbang dunia dan akhirat), dia hafiz tetapi dia juga pakar dalam bidang perubatan, akauntan atau jurutera dan sebagainya,” katanya.

Katanya ketika ini sistem pendidikan negara mempunyai 41,250 pelajar tahfiz yang sedang mengikuti pendidikan hafiz dan akademik secara serentak.

Mengakui terdapat kelemahan dan isu ketirisan dalam pentadbiran kerajaan hari ini, namun Asraf Wajdi berkata sesetengah pihak tidak sepatutnya terlalu cepat menuduh Malaysia sebagai sebuah negara yang gagal.

“Ini tidak bijaksana. Sepatutnya isu ini diatasi secara bersama dan pada masa sama tidak melupakan agenda negara yang lebih besar yang memerlukan penglibatan semua pihak dan tidak hanya membiarkan kerajaan melaksanakan agenda tersebut,” katanya.

MES diadakan bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 yang berlangsung mulai esok hingga 9 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com