Ramon Marcote Bersiap Sedia Ke Alor Setar, Tunggu 'Green Light' KFA


ALOR SETAR - Bakal Ketua Jurulatih Kedah, Ramon Marcote mendedahkan situasinya bersama Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) ketika ini.

Bekas penolong jurulatih skuad hijau kuning itu mendedahkan, dia kini telah bersiap sedia untuk ke Alor Setar.

Bagaimanapun, perjalanan ke bumi Jelapang Padi akan dimulakan sebaik sahaja mendapat 'lampu hijau' daripada KFA.

"Sekarang saya hanya menunggu 'lampu hijau' daripada KFA untuk bertolak ke Alor Setar untuk menandatangani kontrak.

"Saya tidak boleh memberi komen begitu banyak kerana perkara lain akan diumum sendiri oleh KFA.

"Sehingga itu semua pihak perlu bersabar kerana KFA adalah pihak yang mempunyai kuasa berhubung hal ini dan saya menghormatinya," katanya yang dipetik mStar Online.

Mengikut laporan, Marcote kini berada di fasa akhir untuk dilantik menggantikan Mohd Nidzam Adzha Yusoff untuk mengendali Kedah bagi musim 2018.


Didakwa Marcote dan KFA telah mencapai persetujuan mengenai kontrak yang ditawarkan hasil usaha penaja skuad berkenaan iaitu Puan Seri Ginney Chew.

Pun begitu, pengumuman rasmi akan dibuat oleh KFA sebagai majikan selepas kontrak dimeterai.

Terdahulu, Marcote mula dirisik kembali oleh KFA selepas mendapat desakan penyokong Kedah yang mahukan sentuhan pengendali dari Sepanyol berkenaan.

Pada 2015, terbukti Marcote berjaya membawa Kedah ke saingan akhir Piala Malaysia apabila ketua jurulatih ketika itu, Tan Cheng Hoe sedang mengikuti kursus kejurulatihan di China.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk kembali ke Sepanyol pada 2016 untuk menyambung pengajian di peringkat PhD Sains Sukan sebelum kembali untuk musim depan. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com