Raih RM600 Sehari Berniaga Ketika Banjir


RANTAU PANJANG - Seorang peniaga raih RM600 sehari selepas mengambil peluang terhadap keghairahan orang ramai untuk bermain air di kawasan banjir.

Mohd Khairil Azwa, 30, berkata dia mula berniaga di lokasi banjir di Banggol Kulim, di sini, selepas air melimpahi kawasan itu dua hari lalu dan ia juga menjadi tumpuan orang ramai setiap tahun.

Katanya, dia mula berniaga minuman dan makanan (sate ikan) pada jam 12 tengah hari sehingga jam 8 malam dan mendapat sambutan menggalakkan.

"Alhamdulillah ini rezeki saya ketika banjir. Malah setiap tahun saya mengambil peluang berniaga kerana sudah sedia maklum bahawa tempat itu memang menjadi tumpuan ramai.

"Di sini musim banjir ada kala dirai seperti pesta dengan orang ramai daripada pelbagai peringkat umur datang bermain air dan kita dapat melihat aneka ragam manusia.

"Namun dalam bersuka ria, semua masih berjaga-jaga kerana di musim banjir ini pelbagai kemungkinan boleh berlaku," katanya yang tinggal di Gual Tinggi, di sini.

Mohd Khairil berkata, agensi keselamatan seperti pihak polis, bomba dan Angkatan Pertahananan Awam (APM) sentiasa ada di lokasi bagi memastikan penduduk yang mengunjungi tempat itu selamat.

Katanya, bagi penduduk di sekitar kawasan itu mungkin sudah biasa melihat suasana sebegini kerana setiap kali banjir, orang ramai akan memenuhi kawasan itu.

"Lagipun lokasi ini selamat kerana paras air yang tidak tinggi dengan aliran air yang biasa. Selepas sehari banjir baru ramai yang mengunjungi tempat ini kerana banjir pada hari pertama lebih bahaya dengan air yang agak deras.

"Saya akan manfaatkan peluang yang ada ini sebaik mungkin untuk mencari rezeki, kerana biasanya hanya dalam masa seminggu lebih saja fenomena pesta air ini berlaku. Selepas ini kebanyakannya sudah sibuk untuk membersihkan rumah atau kawasan yang dinaiki air," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com