Puteri Mahu PTPTN Dibuka Kepada Pelajar Luar Negara


KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO mahu pembiayaan pendidikan di bawah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diperluaskan kepada pelajar Malaysia di luar negara.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata ini dilihat mampu sedikit sebanyak membantu meringankan kos kehidupan pelajar di luar negara yang tinggi dan membebankan.

Katanya, ia juga boleh menjadi badan pinjaman pendidikan alternatif baharu buat pelajar luar negara yang kini bergantung kepada pinjaman biasiswa daripada entiti seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Ramai juga pelajar kita di sana yang menanggung kos pendidikan sendiri, ia memang membebankan ditambah pula dengan penyusutan nilai ringgit.

“Puteri akan membawa perkara ini kepada PTPTN untuk mencari satu kaedah supaya dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa terlibat,” katanya kepada pemberita selepas majlis apresiasi Sekretariat Mahasiswi Nasional (Swinas) di sini semalam.

Program itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 dari 5 hingga 9 Dis ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Mas Ermieyati turut berkata Puteri UMNO akan menggiatkan lagi gerak kerjanya dalam memberi pendedahan dan maklumat mengenai pinjaman PTPTN terutama kepada golongan remaja lepasan sekolah.

“Kita juga banyak membantu pelajar lepasan universiti yang mempunyai kesukaran dalam membayar hutang mereka, kami bawa pelajar ini ke PTPTN bagi membuat penstrukturan semula pinjaman mereka,” katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com