Pujuk Wanita Serah Bayi Lepas Lahir Dalam Tandas Di Baling


ALOR SETAR – Seorang pekerja di sebuah stesen minyak di Baling bersyukur kerana dia berjaya memujuk seorang wanita yang baharu sahaja melahirkan bayi lelaki petang semalam kepadanya.

Nurul Shuhada Mat Shukri, 25, berkata tindakannya itu tidak akan dapat dilupakan setelah melihat wanita berusia 30-an itu yang baharu sahaja keluar daripada tandas stesen minyak kira-kira pukul 2.15 petang dengan membawa ‘sesuatu’ yang berbungkus dengan kain batik.

“Memang dia marah tetapi saya tidak jemu-jemu memujuknya agar benda berbungkus yang saya yakin ia adalah bayi yang baharu dilahirkan kerana terdengar tangisan agar diserahkan kepada saya kerana khuatir wanita itu akan berbuat sesuatu yang di luar jangkaan.

"Jika tidak lakukan sesuatu, saya khuatir wanita itu akan buang bayi itu dan disebabkan itulah saya tidak henti-henti memujuknya walaupun dimarahi dan saya lega sebaik saja dapat memeluk bayi itu dan terus membuat laporan polis sebelum bayi itu di hantar ke hospital untuk rawatan dan penjagaan,” katanya.

Menurutnya, selepas bayi tersebut diserahkan kepadanya, wanita itu sempat berpesan agar menjaganya dengan baik sebelum memandu sebuah kenderaan Proton Waja dalam keadaan kesakitan dan keletihan.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Baling Supt Shariffuddin Yusuf berkata polis menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

“Bagi kes semalam, kita sedang menyiasat dan mengesan wanita itu termasuk melalui ujian perbandingan darah bayi itu untuk tujuan (ujian) DNA,” katanya.

Apa yang difahamkan, bayi tersebut kini sedang menerima rawatan di Hospital Baling dan dalam keadaan sihat.

Dalam pada itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak, berkata, JKM Baling akan mendapat Perintah Hak Perjagaan Sementara mengikut Seksyen 25( 2) ( A) Akta Kanak- Kanak 2001 Pindaan 2016 daripada Mahkamah Sesyen Baling .

Beliau berkata, bayi ini akan ditempatkan ke Rumah Kanak Kanak Taman Bakti Kepala Batas bagi memberikan perlindungan sewajarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com